TNB komited biayai kediaman keluarga miskin tegar - Utusan Malaysia

TNB komited biayai kediaman keluarga miskin tegar

MENTERI Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim ditemani Pengerusi TNB, Dato’ Sri Hasan Arifin menyerahkan kunci replika kediaman kepada 38 keluarga miskin tegar di antara penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam DBKL (PA DBKL) yang terpilih menjadi pemilik rumah melalui Program Baiti Jannati (PBJ) TNB di Pusat Komuniti Beringin, Kepong pada Rabu lalu (1 Disember). - Ihsan TNB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus komited membantu seramai 30 lagi ketua keluarga dalam kalangan miskin tegar di ibu negara mencapai impian memiliki kediaman sendiri seterusnya memastikan keluarga mereka mempunyai tempat untuk berlindung.

Penerima adalah penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam DBKL (PA DBKL) yang terpilih menjadi pemilik rumah melalui Program Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) TNB. 

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, PBJ dilaksanakan dengan bantuan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat-syarikat dan ia perlu diumumkan supaya rakyat mengetahui bagaimana dan di mana wang syarikat berkenaan dibelanjakan untuk rakyat.

“Semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa akan diperjuangkan nasib dan masa depan mereka di bawah konsep Keluarga Malaysia. 

“Kementerian Wilayah Persekutuan akan sentiasa berusaha untuk memastikan kesejahteraan sosial dan kesihatan kehidupan rakyat sentiasa diutamakan dari semasa ke semasa,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah kepada 30 penerima, baru-baru ini.

Penyerahan rumah PBJ Keluarga Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan itu dihadiri Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che’ Ngah.

Sementara itu, Hasan berkata, PBJ TNB yang dilaksanakan di seluruh Semenanjung adalah sejajar dengan saranan kerajaan supaya syarikat milik kerajaan (GLC) membantu kerajaan membaiki rumah kediaman golongan yang memerlukan, agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa.

“Pelaksanaan PBJ merangkumi usaha membaiki, membeli atau membina kediaman golongan B40 dan asnaf terpilih meliputi ibu tunggal, warga emas dan golongan miskin dengan nilai sumbangan RM50,000 setiap penerima,” ujarnya.

Turut menerima rumah ialah lapan keluarga di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan. Pemberian dalam suasana sukar ketika ramai bergelut membayar hutang atau sewa rumah itu menghapuskan kebimbangan yang meningkat terhadap keupayaan mereka menyediakan tempat perlindungan secara berterusan kepada keluarga masing-masing sejak pandemik Covid-19 melanda tahun lalu.

Ia dijayakan menerusi kerjasama strategik TNB dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), menggunakan dana diperolehi daripada wang zakat perniagaan tahunan TNB yang dikembalikan MAIWP.

Sehingga kini, 249 keluarga di Wilayah Persekutuan memiliki kediaman selesa dengan kos RM9.9 juta sejak 2014 daripada sejumlah 879 buah rumah sudah dibaik pulih, dibina baharu atau dibiayai pembeliannya di seluruh Semenanjung melibatkan belanja lebih RM39.22 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya