[SIDANG DUN PERAK] Jangan ulangi kesilapan taman tema MAPS - Kor Ming - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN PERAK] Jangan ulangi kesilapan taman tema MAPS – Kor Ming

NGA Kor Ming semasa perbahasan pada Sidang DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri diminta mengambil iktibar daripada kegagalan projek taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) di Meru di sini yang menyebabkan kerajaan negeri berhutang apabila taman tema itu ditutup pada Januari tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming berkata, projek itu pernah dibantah oleh pembangkang dan kini ia menjadi projek gajah putih.

Menurutnya, kegagalan projek itu menyebabkan anak syarikat kerajaan negeri, Perak Corporation Berhad (PCB) berhutang sebanyak RM810 juta.

“Saya nak tahu macam mana kerajaan negeri nak bayar (hutang).  Ini bukan salah Yang Berhormat Kota Tampan (Menteri Besar). 

“Dahulu berpuluh-puluh kali kami di sebelah sini (pembangkang) telah menegur supaya kerajaan jangan buat projek gajah putih. Sekarang inilah akibatnya, hutang kita sekarang RM810 juta.

“Macam mana kita nak bayar?. Nanti semua wang negeri habis hanya untuk langsaikan hutang oleh satu syarikat sahaja. Ini kita perlu ambil iktibar, jangan lagi ulangi kesilapan,” katanya.

Dibangunkan dengan kos beratus juta ringgit dan dibuka pada Jun 2017, MAPS sepatutnya menjadi tarikan utama pelancong ke Perak, namun disebabkan masalah kewangan, taman tema itu akhirnya ditutup pada Januari tahun lalu.

Sebelum ini, ketika dihubungi Utusan Malaysia, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang ditanya mengenai MAPS berkata, taman tema itu bukan di bawah kerajaan.

“Saya tidak boleh menjawab, ia bukan perkara di bawah kerajaan negeri. Ia di bawah PCB (Perak Corporation Berhad), namun saya harap pihak yang terlibat selesaikan,” katanya.

Notis penutupan MAPS mulai 28 Januari 2020 sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn. Bhd. (ATP) daripada Messrs Ernst & Young.

Menurut notis tersebut, tiada tempoh ditetapkan terhadap penutupan taman tema tersebut sehingga diberitahu. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN