PKP punca jumlah kucing dibuang di jalanan meningkat  - Utusan Malaysia

PKP punca jumlah kucing dibuang di jalanan meningkat 

SUKARELAWAN memberikan suntikan vaksin ketika menyertai program membantu kucing terbiar atau jalanan di pusat perlindungan kucing di Pantai Kucing, Jalan Teluk Awak, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK BAHANG: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini menjadi punca jumlah kucing peliharaan dibuang oleh pemilik masing-masing semakin meningkat di seluruh negara. 

Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM), Khalid Rashid berkata, sepanjang PKP dijalankan sejak tahun lalu, pihaknya telah menyelamatkan lebih 2,000 ekor kucing yang dibuang pemilik tidak bertanggungjawab. 

“Ketika PKP, ramai yang kehilangan punca pendapatan, jadi, mereka mengambil keputusan mudah dengan membuang kucing peliharaan masing-masing. 

“Bagi kami, pemilik ini tidak bertanggungjawab kerana menjadikan PKP sebagai alasan, mereka sepatutnya lebih prihatin dan menjaga haiwan peliharaan dan tidak mengambil jalan mudah dengan membuangnya di jalanan,” katanya di sini baru-baru ini. 

Terdahulu, Khalid bersama 25 sukarelawan lain menyertai Program Membantu Kucing Terbiar /Jalanan di Pusat Perlindungan Kucing di Pantai Kucing, Jalan Teluk Awak, di sini. 

Program berkenaan adalah projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara Kelab Kucing Malaysia dan Persatuan Suara Animal Malaysia serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri. 

Menurut Khalid, susulan peningkatan jumlah pembuangan kucing di jalanan juga pihaknya mendapati kes penderaan kucing jalanan semakin meningkat pada masa ini. 

“Kucing-kucing jalanan ini disakiti, disimbah dengan air panas, cedera akibat dilanggar dan sebagainya. 

“Ini berlaku kerana jumlah kucing di jalanan meningkat, kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga dan menyayangi kucing juga masih rendah,” katanya. 

Dalam pada itu tambahnya, sebanyak 100 ekor kucing yang ditempatkan di Pusat Perlindungan Kucing di Pantai Kucing, Jalan Teluk Awak, menerima suntikan vaksin daripada para sukarelawan program itu bagi membantu kucing terbiar tersebut. 

“Selain suntikan vaksin, kucing yang sakit di sini juga diberi rawatan yang sesuai oleh doktor haiwan yang menghadiri program ini,” katanya. 

Dalam masa sama, beliau menggesa syarikat-syarikat korporat membantu pemilik pusat perlindungan kucing terbiar di seluruh negara dari segi dana dan pembangunan infrastruktur supaya kucing jalanan dapat dijaga dengan baik. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya