fbpx

Mejar Fareez sudah boleh duduk, tapi masih di hospital – Bapa

Mejar Fareez
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Mejar Mohd. Fareez Omar, 33, yang cedera dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 16 November lalu kini sudah boleh duduk tetapi dengan menggunakan alat sokongan tulang belakang.

Perkara itu dimaklumkan bapanya, Omar Deros, 62, ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

“Alhamdulillah, anak saya dah sihat. Tapi dia kena pakai alat sokongan tulang belakang apabila hendak duduk dan membukanya semula apabila hendak berbaring.

“Sekarang, dia masih di hospital dan jika keadaannya bertambah baik seperti tidak sakit-sakit di bahagian yang dibedah sebelum ini, insya-Allah, dia akan dibenarkan pulang,” katanya.

Dalam nahas yang berlaku kira-kira pukul 10.07 malam itu, seorang lagi juruterbang iaitu Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, bagaimanapun gagal diselamatkan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kedua-dua mangsa dikatakan sempat keluar daripada pesawat dengan menggunakan kerusi lenting ketika insiden berlaku.

Susulan nahas itu juga, Mohd. Fareez yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang telah menjalani satu pembedahan sehari selepas itu di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

Dalam pada itu, Omar berkata, dia telah pulang ke rumahnya di Selangor sejak Ahad lalu selepas keadaan dirasakannya kembali stabil sepenuhnya.

“Yang ada di Pulau Pinang ketika ini cuma isteri Fareez (Siti Hajar Abdullah) dan dua orang anak mereka (masing-masing berusia tiga tahun dan lima bulan),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI