Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan meningkat RM210.4 bilion - PM - Utusan Malaysia

Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan meningkat RM210.4 bilion – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan mencatatkan peningkatan kutipan hasil sebanyak 8.9 peratus kepada RM210.4 bilion, manakala jumlah perbelanjaan pula meningkat 4.9 peratus kepada RM307.6 bilion sehingga akhir bulan lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan prestasi itu, Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) berpandangan, semakan semula defisit bagi tahun ini iaitu 6.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan dapat dicapai.

Menurut beliau, Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangan tersebut sebagaimana dibincangkan dalam mesyuarat FPC itu kali ketiga hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2022 serta langkah-langkah Bajet 2022, defisit fiskal disasarkan berkurang kepada 6 peratus daripada KDNK.

“Inisiatif pembaharuan institusi terutamanya pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Perbelanjaan Awam (PER) merupakan  langkah dasar utama dalam menyokong usaha ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, dalam jangka sederhana, kerajaan kekal komited terhadap sasaran defisit seperti yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) iaitu 3.5 peratus berbanding KDNK pada 2025. 

Dalam usaha ke arah ini, kata beliau, Jawatankuasa berkenaan meneliti beberapa cadangan yang akan menambah baik kedudukan kewangan negara dan kemampanan fiskal setelah  ekonomi kembali ke trajektori pertumbuhan sebelum pandemik Covid-19 melanda negara. 

“Melangkah ke hadapan, agenda pemulihan yang mampan akan  diselaraskan dengan inisiatif-inisiatif di bawah RMK-12. 

“Kesemua usaha ini bertumpu kepada pembangunan teknologi tinggi, inovasi dan  kemampanan dalam sektor berpotensi pertumbuhan tinggi yang dirangka bagi memangkin ekonomi inklusif dan berdaya saing untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut memberitahu, secara keseluruhannya, usaha membantu seluruh Keluarga Malaysia akan diteruskan, di samping memastikan kemampanan kedudukan  kewangan kerajaan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN