PETALING JAYA: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu diberikan kuasa dalam kelulusan projek pembangunan terutama yang melibatkan projek berskala besar bagi mengelak kejadian banjir pada masa hadapan.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran berkata, pada masa kini JPS tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memaksa pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima cadangan mereka sebelum sesebuah projek itu diberi kelulusan.
Malah, katanya, JPS juga perlu dibenarkan mengeluarkan perintah henti kerja sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan dalam memastikan semua cadangan saliran dan langkah tebatan dipatuhi sepenuhnya oleh pemaju.
“JPS adalah sebuah jabatan teknikal yang tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan. Contoh apabila pemaju mahu mendapatkan kelulusan sesebuah projek, pihak bertanggungjawab seperti kerajaan negeri atau PBT memang meminta cadangan daripada JPS tetapi terpulang kepada pihak bertanggungjawab untuk mengikut cadangan itu atau sebaliknya.
“Jadi JPS tak boleh paksa (mereka terima cadangan), tetapi hanya boleh berikan pandangan teknikal sahaja dan apabila banjir berlaku, yang kena marah itu JPS (jika banjir), sedangkan JPS tiada kuasa penguatkuasaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bencana banjir besar yang melanda Lembah Klang sejak Jumaat lalu menggambarkan Malaysia hampir tiada langsung persediaan bagi menghadapi kejadian tersebut selepas kali terakhir berlaku 50 tahun lalu iaitu pada 1971.
Menurut Piarapakaran, ketiadaan autoriti dan kuasa penguatkuasaan oleh JPS juga menjadikan musibah yang melanda ini bertambah teruk dengan mengambil kira penebangan hutan yang berleluasa.
Katanya, penebangan hutan dan kehilangan penampan tebatan banjir semulajadi juga merupakan antara faktor yang menyebabkan keadaan banjir menjadi lebih teruk.
“Hujan sama yang mungkin berlaku 50 tahun dulu, tetapi apabila berlaku pada masa sekarang (dalam keadaan penebangan hutan berleluasa), maka sememangnya mala petakanya lebih teruk.
“Apabila hutan sudah digondol, maka air hujan makin banyak kerana jika ada ada hutan, air hujan lebih perlahan. Jadi jika tiada hutan, air dari hujan yang turun itu mengalir terus ke sungai, jadi projek tebatan banjir pun gagal lah,” jelasnya. – UTUSAN










