Belum ada saman pelanggaran SOP di masjid, surau di Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

Belum ada saman pelanggaran SOP di masjid, surau di Pulau Pinang 

MOHD. ZAKUAN ZAKARIA (dua dari kanan) pada program Pemantapan Guru Takmir peringkat negeri di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Belum ada tindakan saman dikeluarkan terhadap bahagian pentadbiran masjid dan surau di seluruh negeri ini berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang musim pandemik Covid-19. 

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Mohd. Zakuan Zakaria berkata, ini kerana kadar pematuhan SOP di kedua-dua tempat ibadah itu berada pada tahap tinggi. 

Menurut beliau, pihaknya juga telah memberikan pelbagai penerangan serta penjelasan berkaitan pematuhan SOP itu khususnya menerusi laman Facebook JHEAIPP. 

“Kita dah jelaskan iaitu membuat perbandingan (dari segi SOP) antara masjid, surau dan tempat-tempat lain. 

“Pada masa sama, kita juga sudah memberi banyak kelonggaran (kepada masjid dan surau) dalam isu ini sebelum ini,” katanya pada Program Pemantapan Guru Takmir dan Surau peringkat negeri di sini hari ini. 

Hadir merasmikan program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail yang mewakili Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman. 

Yang turut hadir, Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor. 

Kira-kira 200 guru takmir dari keenam-enam buah daerah di negeri ini hadir pada program berkenaan yang diadakan bersama dengan pelancaran Program Pembinaan Modul Al-Hikmah. 

Dalam pada itu Mohd. Zakuan berkata, ketika ini hampir semua masjid dan surau di Pulau Pinang masih mengekalkan jarak saf sehingga satu meter semasa bersolat. 

Bagaimanapun katanya, masih lagi ada kapasiti atau ruang di masjid dan surau yang boleh diisi oleh para jemaah lain sekali gus memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi. 

“Sepanjang tahun ini juga sebanyak 11 SOP telah dikeluarkan bagi memudahkan urusan jemaah-jemaah masjid dan surau untuk beribadah di seluruh negeri ini. 

“Setiap kali melibatkan isu SOP ini, kami (JHEAIPP) akan berbincang pelbagai pihak termasuk mufti dan MAINPP bagi memastikan tahap keselamatan para jemaah khususnya lebih terkawal,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN