[SIDANG DUN NEGERI SEMBILAN] Tidak sepatutnya harga ayam tinggi di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN NEGERI SEMBILAN] Tidak sepatutnya harga ayam tinggi di Negeri Sembilan

MOHAMAD Hasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan perlu mewujudkan satu dasar pentadbiran untuk mengekang peningkatan harga ayam di negeri ini.

Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) berkata, menerusi dasar berkenaan, kerajaan negeri boleh mengadakan perbincangan dengan pengusaha ternakan ayam yang banyak menjalankan operasi mereka di negeri ini untuk bersama membantu mengurangkan harga bekalan ayam.

“Di Negeri Sembilan tidak sepatutnya harga ayam tinggi kerana, ladang ternakan ayam paling banyak adalah di Negeri Sembilan. Perlu ada dasar pentadbiran, kita buat satu tanda di Negeri Sembilan harga ayam tidak boleh lebih daripada RM6.50.

“Mereka (pengusaha ternakan) mesti mempunyai tanggung jawab sosial korporat terhadap negeri di mana mereka beroperasi. Jadi saya minta kerajaan Negeri Sembilan berpakatlah dan berunding dengan pengusaha-pengusaha ini supaya ketika ini utamakan dahulu rakyat Negeri Sembilan.

“Boleh berunding dengan pengusaha-pengusaha ini, kerana ketika kerajaan berhadapan dengan krisis, mereka juga perlu bersama menjayakan dasar dan hasrat kerajaan untuk mensejahterakan rakyat,” kata beliau.

Mohamad yang juga ketua pembangkang berkata demikian sewaktu berucap pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2022) 2021, Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menambah, perlu ada satu dasar intervensi diwujudkan oleh kerajaan negeri bagi memantau situasi kenaikan harga barangan ketika ini.

“Rakyat berhadapan dengan kos sara hidup yang amat tinggi, harga barang meningkat begitu tinggi, bukan makanan sahaja tetapi bahan binaan juga.

“Dasar intervensi perlu diambil untuk melihat dan memantau serta mengawal keadaan ini, supaya rakyat tidak terus terbeban dan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dan meraih keuntungan melampau,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya