Tiada aduan kes cacing helikopter dalam pisang - Utusan Malaysia

Tiada aduan kes cacing helikopter dalam pisang

TANGKAP layar menunjukkan seorang pengguna konon menarik seekor cacing helikopter daripada sebiji pisang. – GAMBAR media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pertanian Malaysia menafikan keras rakaman video yang tular menerusi media sosial mengenai isu kewujudan cacing helikopter atau helicobacter dalam pisang.

Malah menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Zahimi Hassan, maklumat yang dipaparkan dalam hantaran ditularkan itu juga tidak benar dengan informasi didapati tidak sahih selain diragui.

“Sehingga kini, tiada aduan dan laporan mengenai kes serangan helicobacter pada tanaman pisang di Malaysia yang diterima oleh pihak jabatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa helicobacter merupakan sejenis bakteria dan bukan dari kumpulan serangga atau ulat seperti dilaporkan dalam video berdurasi satu minit 29 saat itu.

Berdasarkan rekod luar negara, rakaman yang tular itu juga didapati berasal dari sumber tidak sahih kerana adalah tidak normal untuk cacing menyempurnakan kitaran hidup dalam pisang.

Ia turut diakui Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan dan Pertanian Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu menerusi ciapan di akaun sosial rasmi Twitter agensi itu pada 1 November lalu.

“Justeru memang agak luar kebiasaan bagi seekor cacing mampu untuk melengkapkan satu pusingan hidup dalam buah pisang sehingga saiz ditunjukkan melalui video itu,” jelas Zahimi.

Sehubungan itu beliau menasihatkan para pengguna di negara ini supaya tidak perlu berasa takut atau ragu-ragu terhadap hasil produk pertanian dari sumber dalam serta luar negara.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui jabatan berkenaan dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan sentiasa memastikan hasil tani di pasaran domestik kekal selamat.

Produk yang dijual di seluruh negara turut dijamin boleh dimakan dan bebas daripada makhluk perosak atau penyakit mendatangkan kemudaratan kepada pengguna serta alam sekitar.

Berdasarkan rekod jabatan itu pada sepanjang tahun lalu, Malaysia mengeluarkan 325,447 tan metrik pisang dengan nilai RM579,295,000 daripada kawasan berkeluasan 26,000 hektar.

Pisang dipercayai tumbuh wujud lebih 10,000 tahun dahulu di rantau Asia Tenggara sebelum tanaman ini tersebar ke seluruh dunia khususnya negara yang beriklim tropika dan lembab.

Buah yang penuh dengan pelbagai khasiat semula jadi itu ketika ini dianggarkan berjumlah 153 juta tan metrik dikeluarkan setiap tahun dengan India dan China menguasai pasaran. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya