SME Bank peruntuk RM900 juta kembangkan perniagaan PKS - Utusan Malaysia

SME Bank peruntuk RM900 juta kembangkan perniagaan PKS

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpeluang meningkatkan penyertaan mereka dalam aktiviti pembangunan negara dengan skala yang lebih besar melalui inisiatif pendanaan ekuiti dan quasi-equity dengan dana bernilai RM600 juta.

Inisiatif tersebut diterajui SME Bank dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Bank Simpanan Nasional seperti yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini.

Selain itu, SME Bank juga akan memperuntukkan dana bernilai RM200 juta di bawah inisiatif IBS Promotion Fund (IBS 2.0) dan RM100 juta di bawah program Pembiayaan Usahawan Muda (YEF2.0) untuk terus membantu golongan sasaran mengembangkan perniagaan masing-masing dalam fasa pascapandemik.

Bank itu dalam kenyataan memaklumkan, keperluan jangka masa panjang untuk mengukuhkan struktur modal dan mengurangkan kebergantungan terhadap pembiayaan menjadi lebih penting kerana banyak PKS diwajibkan meningkatkan leveraj untuk terus kekal beroperasi dan kembali pulih selepas pandemik.

Walau bagaimanapun, segmen tertentu PKS tidak dapat memperoleh pembiayaan selanjutnya disebabkan oleh kunci kira-kira dan tahap penggearan yang lemah.

“Oleh itu, adalah perlu untuk meluaskan pilihan penjanaan dana untuk PKS bagi membolehkan mereka terus memainkan peranan mereka dalam pelaburan, pertumbuhan, inovasi dan peluang pekerjaan.

“Melalui program pendanaan ekuiti dan quasi-equity tersebut, SME Bank akan menyediakan kemudahan dalam bentuk pembiayaan suntikan ekuiti dengan dana berjumlah RM600 juta dan pelaburan sehingga RM5 juta setiap PKS untuk tempoh sehingga 5 tahun,” kata kenyataan itu.

Selain itu, bank itu memberitahu, IBS 2.0 pula akan membolehkan penawaran bantuan kewangan kepada kontraktor-kontraktor yang layak sehingga kategori G7, pengilang dan pemasang dalam industri IBS. 

“Pembiayaan adalah dalam bentuk keperluan modal kerja, perolehan mesin, peralatan, kilang dan ubah suai kilang dengan jumlah pembiayaan sehingga RM10 juta setiap PKS.

“Dana YEF 2.0 pula akan membantu dan menyokong pembangunan PKS yang terdiri dari usahawan muda berumur antara 21 hingga 40 tahun. 

“Pembiayaan ini boleh digunakan untuk tujuan keperluan modal kerja dan perolehan aset perniagaan. Jumlah pembiayaan adalah sehingga RM1 juta dengan kadar keuntungan sebanyak 5.0 peratus setahun,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, inisiatif di dalam Bajet 2022 yang melibatkan SME Bank itu adalah bukti kepentingan fungsi yang dimainkan oleh SME Bank sebagai sebuah Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) yang terlibat secara langsung dalam agenda pembangunan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya