Saham Asia terus meningkat - Utusan Malaysia

Saham Asia terus meningkat

SAHAM Tesla merudum selepas majoriti pengguna Twitter mengundi supaya Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk menjual 10 peratus sahamnya dalam syarikat tersebut. - GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Saham-saham Asia mencatatkan peningkatan, selari dengan Wall Street dalam dagangan awal semalam berikutan laluan rang undang-undang infrastruktur Amerika Syarikat (AS) melonjakkan sentimen sementara harga minyak terus meningkat disebabkan unjuran permintaan tenaga dalam ekonomi global yang berkembang.

Laluan kongres rang undang-undang infrastruktur bernilai AS$1 trilion (RM4.15 trilion) yang lama tertangguh menggembirakan pelabur yang bagaimanapun bakal berdepan satu lagi cabaran minggu ini.

Ia berikutan bacaan inflasi AS yang mungkin mempengaruhi rancangan untuk dasar monetari yang lebih ketat.

Dalam dagangan harian awal Asia, indeks penanda aras MSCI Asia Pasifik di luar Jepun meningkat 0.3 peratus, indeks stok Nikkei Jepun menokok 0.06 peratus manakala saham Australia turun 0.12 peratus.

Indeks cip biru CSI300 China pula dibuka 0.33 peratus lebih tinggi dan indeks Hang Seng Hong Kong dibuka dengan peningkatan 0.65 peratus.

Kelmarin, indeks penanda aras S&P500 Wall Street dan Nasdaq melanjutkan penutupan tertingginya ke sesi kelapan berturut-turut sementara indeks cip biru Dow Jones merekodkan penutupan tertinggi buat kali kedua berturut-turut.

Penyusutan 4.9 peratus saham Tesla Inc. bagaimanapun mengurangkan peningkatan S&P500. 

Saham Tesla merosot selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk melakukan tinjauan di Twitter sama ada beliau patuit menjual 10 peratus sahamnya dalam syarikat tersebut.

Tinjauan tersebut menerima lebih 3.5 juta undian dengan 57.9 peratus mengundi “Ya”.

Saham dunia turut meningkat kelmarin selepas mencapai rekod tertingginya minggu lepas disebabkan mesej lembut bank pusat dan data buruh AS yang kukuh Jumaat lalu menambah sentimen positif yang dijana musim hasil yang baik.

Namun, pasaran buruh AS yang ketat dan masalah rantaian bekalan global mungkin menyebabkan kenaikan harga pengguna pada Rabu ini.

Inflasi yang kukuh berkemungkinan memulakan semula perbincangan tentang peningkatan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan lebih awal daripada jangkaan.

Penganalisis ANZ berkata dalam nota kajiannya, walaupun Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell berkata pihaknya boleh terus bersabar dan tidak menaikkan kadar faedah, data terbaharu inflasi dan kadar upah memberikan gambaran kenaikan akan berlaku lebih awal. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya