IPOH: Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad mengetuai senarai 192 penerima darjah dan pingat kebesaran negeri sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-65 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Sultan Nazrin berkenan mengurniakan Saarani, 60, dengan Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, penasihat undang-undang negeri, Azmir Shah Zainal Abidin pula akan menerima Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.
Katanya, pada istiadat itu, baginda turut berkenan menganugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada 13 penerima.
“Mereka ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Dr. Mohd. Suhaimi Mohamed Ali; Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Mohamed Zaini Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Perak, Nor Sham Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman dan Pakar Perunding Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr. P.N Jeyaseelan.
“Turut menerima DPMP ialah Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Abd. Halim Ashaari; Pengarah Kastam Perak, Dr. Mohamad Saprin; Ketua Bahagian Neurologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Goh Khean Jin; Pengarah dan Pakar Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr. Norhayati Nordin dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Saidon Idris.
“Selain itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop; Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Toh Seri Lela Paduka Prof. Dr. Khalid Ismail dan Ketua Protokol dan Istiadat negeri Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Toh Jana Pahlawan Senior Asisten Komisioner (B) Abu Bakar Romlee,” katanya dalam sidang akhbar di Laman Seri Ridzuan di sini semalam.
Menurut Mohd. Zahidi, empat individu menerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan.
Menurut beliau, mereka yang tersenarai ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman dan Panglima Wilayah Laut 2, Markas Wilayah Laut 2, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan, Laksamana Muda Rusli Ahmad.
“Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara, Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mejar Jeneral Felix Gonsalvez Alexander dan Pakar Perunding Bedah Ortopedik
Hospital Angkatan Tentera Lumut, Brigedier Jeneral Dr. Musa Kasmin turut menerima DPTS,” katanya.
Menurut beliau, sempena sambutan Hari Keputeraan kali ini juga, baginda turut mengurniakan sembilan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 23 Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) dan lapan Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM).
Katanya, 44 Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 47 Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 33 Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan sembilan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).
“Secara keseluruhannya, jumlah penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak yang telah mendapat perkenan baginda pada tahun ini adalah seramai 192 orang.
“Jumlah penerima pada tahun ini adalah terhad dan hanya mereka yang benar-benar layak serta memenuhi kriteria yang ditetapkan sahaja yang telah diperkenankan baginda untuk dikurniakan darjah kebesaran dan pingat.
“Pengurniaan darjah kebesaran dan pingat ini juga tertumpu kepada pasukan barisan hadapan yang telah banyak berkorban masa dan tenaga untuk berjuang menentang dan mengekang penularan wabak pandemik Covid-19 terutamanya di negeri ini.
“Diharapkan pengurniaan ini akan dapat menaikkan semangat serta moral pasukan
barisan hadapan dalam usaha mereka memastikan keselamatan rakyat daripada jangkitan Covid-19,” katanya.
Menurut beliau, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak akan berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada 14 November ini.
Katanya, istiadat pengurniaan darjah kebesaran bagi siri pertama itu melibatkan penerima bagi tahun 2020 iaitu seramai 19 orang dan 19 orang penerima bagi tahun 2021.
“Istiadat pengurniaan bagi siri yang seterusnya iaitu bagi penerima darjah Kebesaran dan pingat yang lain akan dianjurkan mengikut tarikh yang akan diperkenankan baginda dan tertakluk kepada situasi semasa Covid-19 di Perak,” katanya.
Sambutan ulang tahun keputeraan pada tahun ini dimulakan dengan penganjuran
Majlis Kesyukuran iaitu bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat) di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada waktu solat Jumaat, hari ini.
Majlis sama akan turut diadakan di semua masjid daerah di seluruh negeri dengan diketuai orang besar jajahan dan pegawai daerah mengikut daerah masing-masing. – UTUSAN ONLINE









