Rider wajar ditawar pekerjaan tetap - Utusan Malaysia

Rider wajar ditawar pekerjaan tetap

Michael Tiong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Syarikat yang menyumber luar penghantaran mereka kepada pekerja perkhidmatan penghantaran atau rider harus mempertimbangkan jawatan tetap kepada golongan berkenaan.

Ini berikutan golongan tersebut merupakan tulang belakang syarikat.

Presiden Persatuan Suara Konsumer Sarawak (Covas) Michael Tiong berkata, jawatan tetap akan memberikan pendapatan yang lebih stabil selain mampu menampung perbelanjaan dan memberi lebih tumpuan kepada pekerjaan mereka.

“Kes terbaharu berkaitan pembuangan rider Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) adalah seperti harapkan pegar, pegar makan padi”.

“Rider Pos Malaysia tidak seharusnya diperlakukan sedemikian kerana syarikat itu adalah sebuah konglomerat besar dan mempunyai sistem yang baik untuk mengekalkan tenaga kerja yang begitu baik walaupun di bawah entiti yang berasingan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tiong diminta mengulas kejadian 23 pekerja Pos Rider Melaka yang meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Pos Malaysia membuang pekerja dalam tempoh kritikal, malah, gagal memberikan notis pemberhentian perkhidmatan selama 14 hari seperti ditetapkan dalam kontrak.

Beliau berkata, sebarang isu atau masalah boleh diselesaikan mengikut undang-undang yang ada.

Katanya, di bawah norma baharu ini, permintaan untuk penunggang akhirnya akan meningkat dan perlindungan ke atas kehilangan pendapatan harus dinyatakan dengan jelas untuk kepentingan sesiapa sahaja di bawah kontrak atau pekerjaan sepenuh masa.

Menurut Tiong, penggunaan rider dalam perniagaan hari ini adalah perkara biasa kerana permintaan e-dagang, transformasi sistem pesanan dan perniagaan dalam norma baharu ke era digital.

Katanya, syarikat cenderung untuk menyumber luar kepada penunggang untuk menjimatkan kos, mengurangkan kos operasi, kurang pematuhan badan berkanun dan lebih mudah untuk menguruskan pasukan petugas.

“Tugas harian yang mendedahkan mereka kepada risiko kemalangan adalah tidak sepadan dengan pendapatan mereka atau jumlah nilai kontrak yang ditawarkan.

“Elaun dan faedah seperti perlindungan insurans, subsidi bahan api (minimum RM100 sebulan), malah sebotol air (Coca cola), makanan dan faedah sampingan lain perlu dipertimbangkan untuk kebajikan mereka,” tambahnya.

Kebanyakan mereka menurut Tiong tidak berpendidikan tinggi dan sering memilih pekerjaan yang tidak diingini dengan upah seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN