Projek pangsapuri mewah tidak jejaskan kawasan batu jatuh di Langkawi - Utusan Malaysia

Projek pangsapuri mewah tidak jejaskan kawasan batu jatuh di Langkawi

TAPAK pembinaan pangsapuri mewah yang didakwa menjejaskan kawasan batu runtuh di di Tanjung Mali, Langkawi. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Projek pembinaan pangsapuri mewah di Tanjung Mali, Jalan Pantai Chenang di sini didakwa tidak menjejaskan kawasan dikenali  ‘dropstone’ atau batu jatuh yang merupakan tapak geowarisan berusia 500 juta tahun di pulau peranginan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, semakan pihaknya mendapati kawasan projek tersebut terletak  di luar kawasan batu jatuh yang menjadi salah satu ciri keunikan di sini.

Bagaimanapun, menurutnya, LADA mengarahkan pihak Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) yang meluluskan projek itu dapat memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan kawasan batu jatuh berdekatan.

“LADA mengambil maklum berkenaan kemungkinan kawasan batu jatuh  itu terjejas dengan pembangunan pangsapuri mewah itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gambar yang menunjukkan sebuah bukit dibersihkan untuk pembinaan pangsapuri mewah di Tanjung Mali di sini oleh seorang pengguna Facebook  semalam.

Pengguna Facebook itu mendakwa tapak pembangunan tersebut terletak di kawasan batu jatuh yang merupakan tapak geowarisan terpenting dan perlu dipelihara daripada sebarang kemusnahan oleh manusia .

Batu jatuh tersebut merupakan salah satu ciri unik geotapak pulau lagenda itu yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Batu jatuh di Tanjung Mali terbentuk daripada pencairan dasar bongkah glasier yang terapung di laut sehingga menjatuhkan batu tersebut atau dropstone ke lapisan lumpur di dasar lautan.

Pulau Langkawi telah diiktiraf sebagai global geopark oleh UNESCO pada tahun 2007.

Tapak pembinaan pangsapuri itu juga terletak tidak jauh dari Pantai Chenang di sini yang merupakan antara kawasan tumpuan pelancong.

Nasaruddin memberitahu, beliau difahamkan projek pangsapuri mewah setinggi 40 tingkat yang dibangunkan oleh Tropicana Corporation Berhad itu masih belum bermula.

“Setakat ini, hanya kerja-kerja tanah dan pengambilan batu yang baru dimulakan di tapak pembangunan itu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya