fbpx

8 Disember 2021, 11:37 am

  TERKINI

Polis siasat himpunan MBM di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Skata 342

GABUNGAN Majlis Belia Malaysia menyerahkan memorandum kepada pegawai KBS atas bantahan pelaksanaan penurunan had umur belia kepada 30 tahun di hadapan Menara KBS, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis akan menjalankan siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta 342 terhadap Badan-badan Gabungan Terbesar Majlis Belia Malaysia (MBM) yang mengadakan perhimpunan bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner, A. Asmadi Abdul Aziz berkata, perhimpunan itu berlangsung pada 1.35 petang hingga 3.15 petang dengan seramai 60 peserta terdiri daripada Ahli-Ahli Gerakan Belia 4B Malaysia.

Katanya, mereka berhimpun di luar perkarangan lobi utama KBS, Presint 3 dan di hadapan balai pengawal utama, Bangunan Perdana Putra untuk menyerahkan memorandum bantahan penurunan had umur memegang jawatan di dalam persatuan belia kepada 30 tahun.

“Sebelum menyerahkan memorandum, peserta yang terbabit berhimpun di persimpangan Jalan P4Y, Presint 4 untuk mendengar ucapan daripada lima individu.

“Pada awalnya kumpulan ini bercadang untuk berarak daripada KBS ke Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, namun dibatalkan atas nasihat polis,” katanya ketika dihubungi lewat malam tadi.

Penyerahan memorandum ini bertujuan mendesak kerajaan mempertimbangkan cadangan melalui ucapan Ahmad Faizal di Parlimen pada 17 November lalu bagi mengehadkan umur mana-mana individu untuk memegang jawatan dalam persatuan belia daripada 40 ke 30 tahun.

Asmadi berkata, polis sudah mengenal pasti penganjur program berkenaan dan mengeluarkan notis kepada individu terbabit untuk hadir ke IPD Putrajaya hari ini bagi membantu siasatan.

Katanya, laporan lengkap dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Antara ahli-ahli Badan-Badan Gabungan Terbesar Majlis Belia Malaysia (MBM) yang hadir menyertai program ini terdiri dari Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Fahami Ashrof Badarin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang merangkap Majlis Tertinggi Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd. Imran Tamrin; Setiausaha Agung Gerakan Belia 4B Malaysia, Mohamad Nazri Abdul Latiff dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alif Anas Md Nor. -UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI