MELAKA: Polis menafikan maklumat tular yang mendakwa pintu masuk ke Melaka akan ditutup selama 15 hari bagi pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN), 20 November ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, maklumat itu sebenarnya telah disunting oleh individu tidak bertanggungjawab menggunakan pemakluman prosedur operasi standard (SOP) PRN Sabah sebelum ini.
Katanya, pihaknya sedang menyiasat penyebaran tersebut yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kenyataan yang tular sejak petang tadi adalah tidak benar, ia sebaliknya telah diubah suai daripada SOP PRN Sabah dahulu.
“Kita masih menunggu SOP yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan PRN Melaka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelasnya, orang ramai yang keliru dengan sebarang maklumat berkaitan PRN Melaka boleh menghubungi Bilik Gerakan Polis Melaka untuk mendapatkan penjelasan serta info sahih.
Terdahulu, tular maklumat di media sosial mengenai penutupan pintu sempadan Melaka dalam tempoh 15 hari iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon sehingga hari mengundi.
Ia turut menyatakan hanya pengundi yang berdaftar di Melaka dibenarkan masuk dalam tempoh tersebut. – UTUSAN ONLINE










