ALOR SETAR: Pemilik premis judi nombor 4D di negeri ini disaran mencari perniagaan baharu selepas kerajaan negeri tidak mengeluarkan lagi lesen premis judi tersebut yang berkuat kuasa serta merta.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, premis perniagaan tersebut tidak akan kosong sekiranya pemilik perniagaan judi tersebut dapat menceburi perniagaan lain selepas ini.
Malah, katanya, ramai dalam kalangan peniaga terpaksa menukar perniagaan baharu selepas perniagaan mereka sebelum ini terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
“Ada kedai perabot tukar kedai makan, gunting rambut dan salon kecantikan. Macam-macam boleh buat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara dalam talian selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Beliau berkata, penutupan premis judi itu juga tidak menjejaskan ramai pekerja.
“Premis judi tidak ramai pekerja, di kuanter hanya ada seorang atau dua orang sahaja yang jaga (bertugas).
“(Sebenarnya) lebih banyak kerosakan yang akan berlaku berbanding di premis itu (perjudian),” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi memberitahu, semua Ahli Dewan Undangan (ADUN) termasuk ADUN pembangkang menyokong keputusan kerajaan negeri itu.
Bagaimanapun, katanya, hanya ADUN Derga, dua Ahli Dewan Undangan (ADUN) Derga, Tan Kok Yew dan ADUN Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min tidak menyokong keputusan tersebut.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Presiden Persatuan Perhimpunan Cina Kedah (DPCK), Datuk Cheng Lai Hock berkata, pihaknya membantah keputusan kerajaan negeri ini tidak akan mengeluarkan lagi lesen premis judi nombor 4D di seluruh negeri ini berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, keputusan kerajaan negeri itu tidak selaras dengan kerajaan Persekutuan yang masih membenarkan perniagaan tersebut.
Jelasnya, tindakan tersebut tidak sewajar dilakukan kerana merugikan pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan apabila tidak mendapat daripada kutipan hasil daripada cukai pendapatan dan cukai perniagaan.
Sebelum itu, Muhammad Sanusi mengumumkan kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan tidak akan mengeluarkan lagi lesen premis judi nombor 4D di seluruh negeri ini berkuat kuasa serta merta.
Katanya, keputusan tersebut diambil untuk memastikan negeri ini bebas judi kerana aktiviti itu mengundang kerosakan dan keruntuhan institusi keluarga serta memudaratkan masyarakat. -UTUSAN ONLINE