GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan mempercepatkan suntikan dos penggalak kepada petugas barisan hadapan dan warga emas di negeri itu supaya mereka mendapat perlindungan tambahan daripada wabak Covid-19.
Pengerusi Agro-Tech dan Keselamatan Makanan, Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, pemberian dos penggalak di Pulau Pinang agak perlahan dengan daripada 41,000 petugas barisan hadapan hanya 16,000 telah menerima dos berkenaan.
“Pemberian dos penggalak di Pulau Pinang amat lembab, saya bimbang untuk petugas barisan hadapan dan warga emas yang tinggal di pusat-pusat jagaan.
“Mereka adalah kumpulan yang terdedah dengan risiko jangkitan dan kita mohon Kementerian Kesihatan segerakan pemberian dos penggalak kepada petugas barisan hadapan dan warga emas,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sehingga semalam, sebanyak 245 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Pulau Pinang dengan kadar kes aktif pada masa ini sebanyak 1,944 kes.
Menurut Norlela, suntikan dos penggalak perlahan di Pulau Pinang berbanding negeri-negeri lain memandangkan negeri itu hanya diberikan 1,419 dos semalam berbanding 20,705 di Sarawak dan 9,586 di Selangor.
Tambah membimbangkan katanya, sempadan negeri telah dibuka ketika ini malah berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang mungkin membawa risiko tinggi jangkitan wabak Covid-19 kepada rakyat negeri ini.
“Kita tidak mahu kes Covid-19 di Pulau Pinang meningkat semula seperti pada Ogos dan September lalu apabila keberkesanan vaksin mula menurun selepas enam bulan dos kedua diambil.
“Disebabkan itu mereka yang berisiko perlu diberikan dos penggalak Covid-19 dengan pantas,” katanya. – UTUSAN ONLINE










