PETALING JAYA: Sikap Pas yang bermain banyak ‘kolam’ menjadi punca ramai ahli meninggalkan parti itu kerana tidak sanggup terlibat dalam percaturan politik yang sering berubah-ubah asalkan dapat memberi keuntungan kepada mereka.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub mendakwa, sikap tersebut menyebabkan ahli dan penyokong Pas keliru dengan pendirian parti, di samping mendedahkan wajah sebenar mereka yanghanya memilih rakan politik yang hanya menguntungkan seperti mana berlaku kepada PKR dan DAP sebelum ini.
“Ya, memang benar sekali Pas akan pilih yang menguntungkan mereka sahaja. Pas banyak kitab yang mereka boleh ubah pendirian politik mereka. Jadi, akhirnya ahli-ahli Pas memang keliru,” kata bekas Naib Presiden Pas itu kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari memberi perumpamaan iaitu Pas boleh bermain 10 ‘kolam’ demi perpaduan ummah, sekali gus memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak kembali berkuasa serta menyangkal dakwaan mereka menyokong parti tertentu bagi mempertahankan kedudukan dalam kerajaan.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan Pas menolak gagasan Muafakat Nasional (MN) jika hanya antara Pas dan UMNO tanpa melibatkan sama PN.
Dalam nada sama, bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Abdul Samad berkata, Pas akan meninggalkan rakan kerjasama yang dilihat tidak menguntungkan dan kemudian memilih parti yang boleh memberikan kelebihan terhadap mereka dengan kononnya demi perpaduan ummah.
Menurut beliau, paling ketara apabila parti itu sebelum ini bersama PKR dan DAP dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat kerana mahu menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ekoran menolak ketaksuban politik perkauman dan amalan salah guna kuasa.
“Sebaliknya mereka kemudian meninggalkan PKR dan DAP untuk bersama UMNO demi perpaduan ummah pula. Sekarang pula mahu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN). Sekejap dengan parti itu dan parti ini, sekarang lain pula.
“Mereka memilih rakan kerjasama jika hanya menguntungkan parti dan bukannya atas prinsip perjuangan. Oleh itu, Pas boleh disifatkan hanya istiqamah kepada parti dan bukannya kepada prinsip, maka sebab itu, ia menjadi punca saya dan ahli lain meninggalkan parti kerana tidak dapat menerima pendirian Pas yang kerap berubah,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah memberitahu, beliau mengenali Pas sebagai sebuah parti yang amat tegas dalam prinsip perjuangan iaitu berdasarkan keadilan, kesaksamaan dan ketelusan, sebaliknya pendirian itu mulai berubah kebelakangan ini. – UTUSAN









