[PARLIMEN] Jakim gubal Pelan Tindakan OKU Muslim - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Jakim gubal Pelan Tindakan OKU Muslim

AHMAD MARZUK SHAARY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menggubal Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya Muslim (PTOKUM) sebagai dukungan kepada Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) Kebangsaan dan yang sedia ada, Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Negara yang telah dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pelbagai usaha sedang digerakkan bagi memastikan pelaksanaan Dasar Pemerkasaan OKU Rabbani mampu mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Kerjasama rentas kementerian telah diadakan seawal perancangan PTOKUM ini disediakan iaitu menerusi satu Persidangan Meja Bulat pada 5 hingga 6 Ogos 2020 yang telah diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi dan juga Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Pemerkasaan OKU bersama-sama KPWKM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 17 September 2020.

“Pelan ini juga telah melalui beberapa sesi libat urus di peringkat Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

“Libat urus melibatkan kementerian-kementerian yang berkaitan akan diadakan dari semasa ke semasa mengikut keperluan bagi memperkemaskan pelan ini sebelum ia dilaksanakan pada tahun 2022 bagi melengkapi Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan Dasar OKU  sedia ada,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Che Alias Hamid [Kemaman-Pas] yang minta JPM untuk menjelaskan sejauh mana kerjasama rentas kementerian dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan dasar tersebut.-UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN