fbpx

23 Mei 2022, 4:11 am

  TERKINI

Nora bakal berkahwin dengan cikgu tahun ini

NORA Ariffin ketika ditemui selepas sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama dengan Yayasan Sofa Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin yang hidup bersendirian selepas kehilangan suami tercinta lima tahun lalu mengakui akan mendirikan rumah tangga bersama ‘insan istimewa’ tahun ini. 

Nora atau nama sebenarnya Wan Noraafiza Ariffin, 48, berkata, lelaki yang mahu memperisterikannya itu telah dikenalinya dalam tempoh pandemik Covid-19 lalu.

Tambahnya, lelaki yang telah mencuri hatinya itu bukanlah seorang ahli politik, sebaliknya jelas Nora, berkemungkinan merupakan seorang pendidik.

Bagaimanapun, Nora tidak mendedahkan tarikh hari bahagianya itu dan memberitahu bersedia berkongsi dengan peminat apabila tiba waktunya nanti. 

“Insya-Allah dalam masa terdekat (akan berkahwin) dalam tahun ini, benda baik buat apa nak sorok. Doakan yang baik-baik, benda baik tak perlu dilambatkan dan perlu dipercepatkan. 

“Bila masa sesuai saya akan beritahu. Tunggulah nanti, Alhamdulillah, anak-anak okay, mereka berlapang dada menerima dengan hati terbuka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama dengan Yayasan Sofa Negeri Sembilan di sini hari ini. 

Nora yang merupakan balu kepada komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi itu memberitahu, selepas melalui pelbagai fasa ujian dalam kehidupannya, mereka sekeluarga kini mahu mengecapi bahagia dan mahukan kehidupan berkeluarga yang lengkap. 

“Kita pun bukan budak-budak muda, banyak benda perlu dipertimbangkan dan lebih memikirkan masa depan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Nora yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema telah menafikan dakwaan kononnya beliau dan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa telah bernikah di selatan Thailand.

Sementara itu, Nora yang kini kembali aktif menyanyi turut memberitahu bahawa beliau akan mengeluarkan lagu baharu tahun depan. 

“Konsep lagu masih dalam perbincangan. Kita tak mahu terburu-buru, lagi pun kita baru nak recoveR balik. 

“Tapi ia lebih kepada tema kebaikan. Lagu berunsur dakwah itu tidak semestinya lagu ketuhanan. Saya dah penat nak sedih-sedih,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI