MELAKA: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap tiga penulis dan pengulas politik berpengaruh yang didakwa mengambil kesempatan bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan membuat fitnah dipercayai untuk merosakkan reputasi calon.
Pengerusi Pertubuhan Pembela Klebang Besar, Datuk Mohd. Yusof Abu Hasan berkata, fitnah itu sengaja dilakukan ke atas pertubuhannya sebagai ‘kambing hitam’ oleh individu terbabit yang mempunyai kepentingan politik masing-masing.
Jelasnya, ketiga-tiga penulis berkenaan telah membuat hantaran dalam media sosial mendakwa, Pertubuhan Pembela Klebang Besar mempunyai nilai aset luar biasa selain terbabit dalam kegiatan mengutip hasil judi.
“Ketiga-tiga penulis ini telah menggunakan media sosial membuat serangan politik dipercayai untuk merosakkan imej termasuk calon yang bertanding dengan menjadikan saya selaku pengerusi pertubuhan sebagai kambing hitam, mengutip wang hasil judi haram dan menganiaya peniaga.
“Kenapa fitnah ini dibuat pada suasana kempen PRN Melaka, sudah pasti mereka ini mempunyai motif untuk menjejaskan reputasi calon dan proses demokrasi,” katanya ketika ditemui pemberita di Banda Hilir di sini.
Tambahnya, fitnah lain yang dilemparkan adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas RM150 juta daripadanya, selain mempunyai 56 lot tanah di Sabah milik Yayasan Melaka.
Ditanya identiti calon dimaksudkannya, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
“Sasaran mereka mungkin menjatuhkan reputasi calon PRN, penyokong, atau pemimpin dalam kalangan politik, saya tidak dapat nyatakan siapa sasaran mereka,” jelasnya.
Terdahulu, Mohd. Yusof membuat tiga laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah dengan menamakan tiga pihak berkenaan untuk disiasat.
Katanya, pihaknya juga akan melantik peguam bagi tindakan mahkamah selepas siasatan dilakukan polis.
“Saya pun tidak tahu dari mana mereka dapat maklumat sedangkan ia tidak berlaku. Sekadar cakap saya ada RM150 juta tanpa bukti, baik cakap saya ada bilion, trilion ringgit,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut. -UTUSAN ONLINE










