Mesyuarat Agung Pen Mutiara lulus resolusi tolak projek tambak laut - Utusan Malaysia

Mesyuarat Agung Pen Mutiara lulus resolusi tolak projek tambak laut

NELAYAN Pulau Pinang melaungkan bantahan terhadap projek tambak laut selepas mesyuarat agung Pen Mutiara di Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Mesyuarat Agung Ke-36 Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) yang mewakili kira-kira 6,000 golongan nelayan sebulat suara meluluskan resolusi menolak sebarang projek tambak laut di seluruh negeri ini termasuk rancangan tambakan di perairan selatan (PSR) dan di Bagan Ajam, Butterworth dekat sini.

Pengerusi Pen Mutiara, Mahadi Md. Rodzi berkata, resolusi itu sekali gus membuktikan pendirian rasmi komuniti nelayan di negeri ini dalam menolak projek tambakan laut yang jelas menjejaskan mata pencarian mereka.

Ujar beliau, keputusan itu juga menjelaskan mana-mana suara nelayan yang kononnya menyokong projek tambak laut khususnya PSR bukan mewakili suara atau pendirian rasmi komuniti nelayan negeri itu.

“Resolusi menerusi mesyuarat agung ini adalah jelas merupakan suara akar umbi khususnya nelayan di peringkat kawasan yang bakal terjejas secara langsung dengan rancangan projek tambakan laut,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat agung itu di sini hari ini.

Ketika ini terdapat dua projek tambak laut yang dirancang Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu PSR membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut dan tambakan laut dari Bagan Ajam ke Telok Air Tawar seluas 407 hektar dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Dalam perkembangan lain, Mahadi berkata, mesyuarat agung Pen Mutiara turut meluluskan resolusi membantah rancangan pembangunan jeti pendaratan tuna di Batu Maung sekiranya melibatkan pengambilalihan tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk kegunaan nelayan.

Menurut beliau, pihaknya difahamkan projek itu kini dalam perancangan untuk dibangunkan oleh pihak swasta dan bakal melibatkan tanah seluas kira-kira tiga hektar di Batu Maung di sini.

“Kita tidak membantah projek pembangunan itu tetapi jangan melibatkan pengambilalihan tanah milik LKIM yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan nelayan.

“Kita juga bimbang sekiranya projek ini sekali lagi gagal seperti pernah dirancang pada 2006 tetapi tanah milik LKIM seluas lapan hektar telah tergadai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN