MELAKA: Kerajaan negeri Melaka yang baharu boleh dibentuk meskipun tiada parti yang memperoleh majoriti mudah selepas keputusan pilihan raya diumumkan Sabtu ini kerana Yang Dipertua Negeri boleh melantik mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pada hemat beliau mempunyai kepercayaan Dewan untuk dilantik sebagai Ketua Menteri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, tanpa majoriti mudah, jalan penyelesaian yang ada ialah melalui penubuhan kerajaan campuran atau minoriti walaupun pilihan itu cuba dielakkan dalam kalangan parti bertanding.
Setiap parti sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) memerlukan sekurang-kurangnya 15 daripada 28 kerusi DUN bagi membentuk kerajaan negeri.
“Pembentukan kerajaan negeri adalah bergantung kepada sokongan ADUN dan bukannya kepada parti,” katanya.
Namun, kata beliau, pembentukan kerajaan tanpa majoriti mudah akan berhadapan kesukaran ketika pembentangan usul belanjawan dan undang-undang.
Berdasarkan tinjauan di lapangan sehingga semalam, belum ada parti yang dilihat mendapat sokongan lebih 15 kerusi, malah ramai pemerhati politik dan orang dalam parti meramalkan kemungkinan keadaan DUN Melaka tergantung boleh berlaku.
Setakat ini, BN meramalkan menang di 13 kerusi yang juga merupakan kubu kuat mereka, manakala PH di lima kerusi tetapi keadaan itu boleh berubah pada bila-bila masa.
Pensyarah Sosiologi Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Sivamurugan Pandian juga tidak menolak kemungkinan DUN tergantung akan berlaku.
Katanya, sehingga kini masih tidak jelas kecenderungan pengundi kepada parti mana yang disokong memandangkan sekatan kempen secara terbuka untuk menilai sejauh mana sokongan mereka setakat ini.
Sivamurugan menambah kerajaan campuran merupakan antara alternatif terhadap pembentukan kerajaan sekiranya setiap parti gagal memperoleh kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.
“Pendekatan kempen norma baharu ini amat sukar untuk melihat kecenderungan sokongan pengundi terhadap parti mana seperti yang dapat dilihat dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini,’’ katanya.
Seorang lagi pakar perlembagaan, Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof memberitahu, Yang Dipertua Negeri Melaka boleh memberi masa sesuai kepada parti-parti untuk melakukan rundingan bagi membentuk kerjasama baharu.
Katanya, tiada konsep kerajaan minoriti kerana Yang Dipertua Negeri boleh melantik mana-mana ADUN pada hemat mempunyai kepercayaan majoriti ADUN. – UTUSAN










