PETALING JAYA: Kempen Tiada Beg Plastik yang bertujuan memulihara alam sekitar sejak 10 tahun lalu gagal mencapai matlamat apabila penggunaan bahan itu masih berleluasa di pasar raya dan premis perniagaan.
Langkah membenarkan pengguna membayar caj 20 sen bagi setiap beg plastik, menjadikan kempen membawa beg beli-belah sendiri dari rumah sukar dipupuk dalam kalangan mereka.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusoff Abdul Rahman berkata, kempen berkenaan tidak begitu membantu pengguna mengurangkan atau menghapuskan penggunaan beg plastik.
Katanya, pemerhatiannya selama ini mendapati tidak ramai pengguna membawa beg sendiri ke kedai sebaliknya mereka sanggup membayar caj 20 sen yang dikenakan peniaga.
“Ini kerana membudayakan rakyat negara ini untuk membawa beg sendiri masih lagi perkara yang sukar berbanding rakyat di negara-negara maju.
“Dalam 10 tahun ini, belum ada sebarang pelaksanaan atau satu keputusan muktamad untuk menghapuskan penggunaan beg plastik, jadi, kempen itu perlu disemak semula untuk pastikan ia betul-betul berjaya.
“Jika mahu dihapus terus penggunaan, maka gantikan dengan beg kitar semula, meskipun kena bayar, tetapi langkah itu boleh memberi manfaat dan tidak memberi keuntungan percuma kepada peniaga,” katanya.
Pada Disember tahun lalu, Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 turut bersetuju meluluskan penguatkuasaan Kempen Tiada Beg Plastik di semua premis perniagaan di seluruh negara selepas mendapat sokongan semua negeri.
Keputusan tersebut juga bersetuju peniaga mengenakan caj minimum 20 sen bagi setiap beg plastik yang diberikan kepada pelanggan di kaunter pembayaran.
Pelaksanaan program itu dilaksanakan dalam dua fasa iaitu Fasa 1, mulai Disember 2020 hingga 2021 dengan pelaksanaan bertumpu kepada premis kekal iaitu pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian dan farmasi.
Pelaksanaan Fasa 2 (2022-2025), kempen itu akan diperluaskan kepada jenis premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff berkata, tujuan penggunaan dana daripada caj 20 sen itu juga perlu disemak semula sama ada mencapai matlamat kempen tiada beg plastik atau sebaliknya.
Katanya, sememangnya dana itu memberi manfaat kepada program alam sekitar, tetapi ia perlu mempunyai saling kaitan dan akhirnya mencapai matlamat kempen untuk mengurangkan beg plastik.
“Jika kebanyakan dana yang dapat itu disalurkan untuk program alam sekitar lain, maka, kita lihat kempen itu tak berjaya (kurangkan beg plastik). Dana tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk buat beg kitar semula dan diedar kepada pengguna yang sangat memerlukan bungkusan.
“Pihak pengurusan pasar raya juga kena ada inisiatif sediakan bungkusan beg kitar semula, tetapi, jika tiada inisiatif, maka penggunaan beg plastik tetap diteruskan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Mohamad Hafizudin Mohd. Nasaruddin berkata, pihaknya juga melihat kempen sebegitu tidak dapat mengekang penggunaan beg plastik.
Katanya, keberkesanan kempen itu tidak akan selesai selagi mana kilang-kilang pengeluar plastik tidak menghentikan operasi mereka dalam mengeluarkan beg plastik.
“Kita tak boleh mahu disiplinkan rakyat semata-mata, tetapi perlu disiplinkan keseluruhan rangkaian yang terlibat dengan beg plastik itu.
“Jadi, kilang mungkin boleh guna penghasilan kaedah beg plastik biodegradable, banyak inovasi untuk menghasilkan beg plastik, maka ini perlukan polisi dari kerajaan.
“Namun, saya tak nafikan kempen itu ada kesan kerana tak semua yang bayar caj 20 sen itu, tetapi bukanlah pada tahap yang memuaskan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










