JPA hanya pilih kakitangan bijaksana, kompeten - Utusan Malaysia

JPA hanya pilih kakitangan bijaksana, kompeten

TUANKU Mukhriz Tuanku Munawir berkenaan melancarkan Buku Koleksi Teks Ucapan dan Coffee Table KPPA serta Sesi Town Hall bersama Warga Universiti Awam dan Pelajar Tajaan JPA di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini. -UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hanya memilih kakitangan awam yang bijaksana dalam pelbagai aspek selain kompeten untuk melaksanakan tugas.

Hal itu ditegaskan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman ketika menghadiri Pelancaran Buku Koleksi Ucapan dan Coffee Table KPPA di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Beliau menegaskan, pihaknya merangka proses pemilihan, saringan dan penilaian yang rapi dalam urusan pelantikan penjawat awam selama ini.

“Langkah ini untuk memastikan penjawat awam yang dilantik bukan sahaja memenuhi tahap kriteria minimum seperti sahsiah, kemahiran dan pengetahuan, malah, menjangkau kompetensi luar biasa melibatkan kebijaksanaan dalam pelbagai aspek seperti membuat keputusan, menimbang tara alasan dan menganalisis persekitaran.

“Oleh itu dalam perkhidmatan awam, kita memerlukan penjawat awam yang mencapai tahap kebijaksanaan itu agar mereka lebih berani dan berkeyakinan melaksanakan tugas dengan penyeliaan yang minimum.

“Saya yakin dengan bilangan penjawat awam seramai 1.6 juta orang yang memiliki kesemua kriteria yang dinyatakan, perkhidmatan awam akan terus menjulang kejayaan dan menempa tahap kegemilangannya sebagai jentera penggerak pentadbiran Kerajaan yang efektif dan efisien,” katanya. 

Hadir pada majlis pelancaran itu ialah Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Mohd. Khairul Adib turut dianugerahkan Tokoh Alumni Tersohor (UKM). 

Sementara itu, Mohd. Khairul Adib menambah, polisi atau dasar kerja perkhidmatan awam perlu diubah dan dikaji semula demi mengikut peredaran masa dan teknologi selain meningkatkan kecekapan penyampaian sektor itu kepada orang ramai.

Hal ini berikutan pandemik Covid-19 yang berlaku dalam tempoh dua tahun ini telah mengubah cara penyampaian kakitangan.

Beliau berkata, polisi perkhidmatan awam tidak boleh statik kerana pandemik  menyebabkan ramai kakitangan awam terpaksa bekerja dalam talian dan bekerja dari rumah. 

Menurutnya, polisi ini bersifat dinamik dan memerlukan penerimaan perubahan cara bekerja. 

“Oleh itu, segala perubahan yang dilaksanakan dalam perkhidmatan awam adalah bertitik tolak daripada polisi. Polisi perlu bergerak selari dengan garis perubahan teknologi.

“Kegagalan penjawat awam memahami keperluan ini akan menyebabkan pelaksanaan polisi tersebut menjadi tidak bermakna. 

“Polisi sepatutnya membawa negara ke satu tahap yang lebih tinggi dan tidak boleh bersifat kosmetik yang hanya merubah rupa bentuk fizikal negara. Sebaliknya, polisi perlu mencetus idea dan pemikiran baru dalam kalangan rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN