PUTRAJAYA: Hukum membeli dan menggunakan peranti ‘android box’ untuk mendapatkan siaran televisyen adalah harus selagi mana ia tidak akses kepada siaran berbayar dan hak cipta lain.
Itu penjelasan dibuat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi artikel Irshad Al-Fatwa Siri Ke-649: Hukum membeli dan menggunakan android box dikeluarkan, hari ini.
PMWP berkata, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah, maka ia adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.
Menurutnya, android box adalah alat atau peranti yang digunakan untuk membolehkan televisyen mendapat siaran-siaran dari seluruh dunia.
“Tambahan lagi, peranti tersebut dapat membolehkan televisyen menyiarkan perkhidmatan siaran strim (streaming services) lain yang biasanya hanya boleh diakses melalui laptop, komputer, telefon dan peranti pintar yang lain.
“Selain itu, ia juga akan membolehkan pengguna mendapat akses terhadap aplikasi-aplikasi peranti pintar seperti playstore, internet dan lain-lain,” katanya.
Katanya, terdapat dua bentuk siaran yang akan diperoleh melalui penggunaan peranti tersebut iaitu siaran berbayar dan siaran percuma.
Justeru, katanya, tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang.
Namun, katanya, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut.
“Terdapat keadaan di mana pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.
“Justeru, permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya,” katanya.
Jelasnya lagi, permasalahan ini juga berkait rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran dimana ia adalah hak yang diiktiraf syarak.
Oleh itu, katanya, tidak boleh untuk seseorang mencerobohi hak tersebut atau menggunakannya dengan cara yang salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya.
“Adapun bagi perbuatan membeli dengan tujuan untuk menonton siaran percuma atau fungsi-fungsi lain yang tidak melibatkan hak pihak lain dan mencerobohi hak-hak mereka, maka pembelian atau penggunaannya adalah diharuskan syarak sekiranya menepati syarat dan rukun jual beli,” katanya. -UTUSAN ONLINE










