PADANG RENGAS: Sebuah hospital swasta akan dibina di Lubok Merbau bagi memenuhi permintaan pelancongan kesihatan yang kian meningkat di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, tapak cadangan pembinaan hospital itu telah dikenal pasti iaitu di Kawasan Perindustrian Miel Lubok Merbau di sini.
“Kerajaan negeri sedang membuat perancangan untuk membina beberapa buah hospital swasta di Perak bagi memenuhi permintaan pelancongan kesihatan di negeri ini.
“Kita terima banyak permintaan, cuma, kita kekurangan fasiliti. Jadi, kita akan cuba penuhi permintaan itu, tambahan lagi, ada cadangan untuk membina hospital swasta di sini.
“Kita telah buka (tender) dan difahamkan ada pihak yang berminat dan datang ke tapak pembinaan untuk melihat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan sesi ‘townhall’ bersama penjawat awam dan warga keselamatan di Dewan Millenium Lubok Merbau di sini hari ini.
Terdahulu, Saarani mengadakan lawatan ke tapak pembinaan hospital itu termasuk projek Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) di Kampung Ngor, Sauk dan kompleks sukan di Lubok Merbau.
Menurut Saarani, RPT Kampung Ngor itu akan dibina di atas tapak lama Sekolah Kebangsaan (SK) Jenalik yang telah dipindahkan ke lokasi baharu.
Katanya, projek tersebut akan memberi manfaat kepada 26 buah keluarga terdiri dalam kalangan penduduk setempat.
“Tapak sekolah itu dicadang untuk dibangunkan bagi membina 26 buah rumah untuk diberikan kepada orang tempatan.
“Berdasarkan lawatan tadi, kita melihat pada kesesuaian dan difahamkan memerlukan peruntukan lebih kurang RM720,000 untuk membangunkan infrastruktur,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, sebuah tapak dengan keluasan lebih 10 hektar membabitkan pembinaan kompleks sukan serba lengkap.
“Tapak sudah ada dan kita akan berbincang dengan kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membangunkan kompleks sukan di sini.
“Kita harap pembinaannya boleh dibangunkan segera kerana ia akan membantu menyemarakkan pembangunan di daerah Kuala Kangsar,” katanya. – UTUSAN ONLINE