TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memohon mahkamah menangguhkan tarikh keterangannya dalam perbicaraan rasuah yang sudah lama berlangsung selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendesak kes itu dibatalkan sepenuhnya.
Tindakan Trump yang menyokong Netanyahu dalam kes tersebut telah mencetuskan kritikan daripada beberapa ahli politik Israel termasuk seorang anggota dalam gabungan kerajaan pimpinan Netanyahu sendiri serta ketua pembangkang negara itu.
Perkembangan ini berlaku hanya beberapa hari selepas Trump dan Netanyahu mengisytiharkan kemenangan terhadap Iran dalam konflik selama 12 hari yang menyaksikan Israel membedil Republik Islam itu manakala pesawat AS turut melancarkan peluru berpandu berkuasa tinggi ke atas kemudahan nuklearnya.
Dalam permohonan rasmi kepada mahkamah, peguam Netanyahu, Amit Hadad menyatakan bahawa keterangan perdana menteri perlu ditangguhkan berikutan perkembangan serantau dan global.
“Mahkamah dengan penuh hormat dimohon untuk membatalkan sesi perbicaraan yang dijadualkan melibatkan Netanyahu dalam tempoh dua minggu akan datang,” menurut permohonan itu.
Permohonan tersebut juga menyebut bahawa Netanyahu kini terpaksa menumpukan sepenuh masa dan tenaganya untuk menangani isu-isu nasional, diplomatik dan keselamatan yang amat penting susulan konflik dengan Iran dan pertempuran berterusan di Gaza di mana terdapat tebusan Israel yang masih ditahan.
Dalam hantaran di platform Truth Social miliknya, Trump menyatakan bahawa perbicaraan Netanyahu wajar dibatalkan serta-merta atau diberikan pengampunan selepas tamat peperangan dengan Iran.
Netanyahu pada Khamis mengucapkan terima kasih kepada Trump atas sokongan ikhlas terhadapnya dan sokongan luar biasa terhadap Israel serta rakyat Yahudi.
“Saya berharap dapat terus bekerjasama dengan anda (Trump) untuk menewaskan musuh bersama, membebaskan tebusan dan mengembangkan lagi lingkaran keamanan dengan segera,” tulis Netanyahu di X sambil berkongsi tangkap layar hantaran Trump di Truth Social. -AGENSI










