KOTA BHARU: Menjangkau usia 84 tahun, legenda silat pulut Kelantan, Hassan Arshad telah melatih kira-kira 2,000 pewaris seni bela diri tradisi orang Melayu itu di seluruh negeri ini.
Selain melatih golongan belia bersilat, beliau mengajar mereka kemahiran bermain pelbagai alatan muzik seperti gendang, serunai dan rebana ibu untuk mengiringi persembahan silat pulut.
Warga emas dari Kampung Padang Lembek, Ketereh itu berkata, dia gembira kerana tiga zuriatnya menjadi penyambung legasi termasuk meneruskan usahanya melatih pesilat dan pemuzik muda.
“Sejak penyakit asma menyerang, saya mengambil keputusan berehat daripada tugas melatih generasi baharu.
“Alhamdulillah, tugas ini tidak terhenti begitu sahaja sebaliknya disambung tiga anak saya iaitu Ismail, Azwan dan Nik Zaiman,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu, Hassan menerima kunjungan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang menyampaikan sumbangan bakul makanan bagi pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Sementara itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, silat pulut adalah antara seni bela diri yang perlu dipertahan kerana mampu melahirkan generasi masa depan yang mempunyai jati diri.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap peruntukan kira-kira RM200 juta kepada Finas dalam Bajet 2022 dapat menghidupkan semula industri kreatif negara, khususnya perfileman.
Kata beliau, peruntukan itu merangkumi dana pengeluaran filem animasi buatan tempatan serta kandungan digital di bawah Pelan Pendigitalan Nasional yang menyentuh semua aspek termasuk bidang komersial.
“Kita akan selaraskan peruntukan ini sebaik mungkin kerana saya mahu melihat pembaharuan yang dilakukan benar-benar berkesan dalam membantu melonjakkan semula industri seni kreatif ini,” katanya.
Selain menziarahi penggiat seni yang uzur, Annuar turut meluangkan masa melawat Balai Kartun Rossem (BKR) di Peringat, di sini milik kartunis legenda Kelantan, Rossem atau nama sebenarnya Rosedi Ismail. -UTUSAN ONLINE