MELAKA: Hampir 100 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau kenaikan harga barang dan makanan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya meramalkan kenaikan harga akan berlaku, tetapi tidak terlalu serius susulan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) PRN yang ketat.
Menurut beliau, KPDNHEP tetap mengambil tindakan proaktif untuk melihat, meninjau serta memantau kemungkinan berlakunya kenaikan harga, meskipun suasana berkempen tidak semeriah pilihan raya terdahulu.
“Kita jangkakan ada kenaikan harga barang dan makanan, tetapi ketiadaan sebarang kempen serta ceramah politik menjadikan PRN Melaka kali ini sedikit berbeza.
“Orang ramai yang datang ke negeri ini sekadar untuk melihat dan melancong sahaja. Saya yakin dengan kekuatan hampir 100 penguat kuasa mampu mengatasi sebarang masalah kenaikan harga pada PRN,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga maksimum sempena Deepavali di Aeon Bandaraya di sini hari ini.
Tambah Rosol, KPDNHEP setakat ini tidak merancang untuk mewujudkan jawatankuasa khusus untuk memantau kenaikan harga barang ketika PRN.
Katanya, PRN Melaka bukan pertama kali diadakan dan berharap orang ramai akan terus mematuhi apa sahaja yang diputuskan kerajaan.
“Saya yakin orang Melaka semuanya baik-baik. Pilihan raya ini bukan yang pertama diadakan, sudah banyak kali. Kita harap mereka akan patuh dengan arahan kerajaan.
“Sekiranya pengguna berdepan dengan isu harga, mereka boleh lapor kepada KPDNHEP melalui pelbagai saluran atau datang ke pejabat berhampiran untuk kita ambil tindakan segera. Paling penting setiap transaksi perlu ada resit,” ujarnya.
Sementara itu, Rosol menambah, beliau berpuas hati terhadap pematuhan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021 yang berkuatkuasa 1 hingga 7 November ini.
Katanya, bekalan kit ujian Covid-19 juga mencukupi dan dijual pada harga yang ditetapkan. -UTUSAN ONLINE










