Hanya PRU dapat jamin kestabilan kerajaan - Utusan Malaysia

Hanya PRU dapat jamin kestabilan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Memorandum persefahaman (MoU) hanya persefahaman semata-mata dan bukannya perjanjian yang mengikat antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) berhubung tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, sekiranya rakyat memerlukan pilihan raya untuk membentuk kerajaan yang stabil, maka amat wajar diteruskan tanpa mengambil kira MoU yang dimeterai kedua-dua pihak.

“MoU tersebut mengambil kira senario dan status semasa ketika itu dan hanya membabitkan parti politik.

“Jika rakyat mahukan pilihan raya, tiada salah perkara itu diteruskan demi kestabilan kerajaan dan tanah air agar pembangunan negara dapat dirancang dengan sebaik mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, MoU kerajaan dan PH bukan ‘kitab suci’ untuk tidak membenarkan pilihan raya umum diadakan sebelum Julai 2022, namun bukan bermaksud boleh dilanggar tetapi hendaklah dirundingkan demi mendapatkan keputusan secara konsensus.

Kenyataan itu mendapat reaksi daripada pemimpin PH termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggesa Ahmad Zahid untuk menghormati MoU yang dimeterai tersebut.

Ditanya kewajaran mengadakan PRU lebih awal, Mohamad Faisol berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan contoh terbaik apabila pilihan raya itu tidak memberikan kesan buruk terhadap jangkitan Covid-19.

Katanya, malah ia tidak dilihat untuk melanggar maksud tersirat kandungan MoU itu yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil tanpa gangguan pihak tertentu.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Md. Akbal Abdullah menjelaskan, MoU tidak terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan sebaliknya hanyalah pembentukan kerajaan yang stabil menerusi saluran pilihan raya.

Malah jelas beliau, MoU hanya bersifat sementara dan rapuh sekiranya terdapat pihak mencabuli persefahaman dimeterai antara kedua-dua pihak sekali gus tidak menjamin kestabilan negara untuk jangka panjang.

“MoU dibentuk untuk menjamin kestabilan kerajaan pada waktu itu, jika ia tidak berjaya akhirnya saluran demokrasi merupakan cara terbaik untuk mengatasi masalah ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN