FFS, Jaya Grocer bantu golongan miskin  - Utusan Malaysia

FFS, Jaya Grocer bantu golongan miskin 

KERJASAMA dengan Jaya Grocer membuka ruang lebih besar untuk FFS menyampaikan khidmat kepada masyarakat. - Ihsan FFS dan Jaya Grocer
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasar raya terkenal, Jaya Grocer menyumbangkan 10,000 beg mesra alam untuk kegunaan Persatuan Makanan Ehsan (FFS) bagi pengagihan kotak makanan dalam kempen bantuan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu pada masa akan datang.

Beg-beg yang direka khas itu mempunyai ciri-ciri boleh guna semula bagi mengurangkan penggunaan beg plastik.

Presiden FFS, Datuk Ali Abdul Kadir berkata, bersama Jaya Grocer, FFS mampu menguruskan pemberian bantuan makanan secara berterusan kepada beribu individu yang memerlukan.

“Kami adalah sebuah NGO yang sentiasa bertungkus-lumus membantu sesiapa sahaja yang memerlukan tidak kira bangsa, agama dan kepercayaan.

“Kumpulan kami sentiasa aktif berganding bahu bersama komuniti-komuniti tempatan untuk menyampaikan bantuan ke seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Jaya Grocer, Molly Loh mengumumkan secara rasmi inisiatif FFS untuk meletakkan 90 tabung derma di cawangan Jaya Grocer di sekitar Lembah Klang.

“Kami berharap inisiatif tersebut akan meningkatkan kesedaran tentang keperluan bantuan makanan dan mendorong masyarakat untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Jaya Grocer adalah salah satu penyumbang terawal kepada program bantuan makanan FSS sejak NGO terbabit beroperasi pada awal April 2021 lalu.

Sehingga kini, Jaya Grocer adalah penyumbang terbesar bagi usaha pemberian bantuan makanan oleh FFS bernilai lebih dari RM330,000 untuk lebih 4,200 kotak makanan.

Kesemua kotak makanan diagihkan oleh FFS kepada komuniti-komuniti yang memerlukan di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN