KUALA LUMPUR: Doktor kontrak yang berhasrat meletak jawatan pada 8 Disember ini menerusi siri mogok kedua akan tetap mengembangkan kerjaya mereka dalam bidang perubatan namun di luar kerangka Kementerian Kesihatan.
Daripada terus berkhidmat dengan kementerian secara kontrak, doktor-doktor berkenaan mempunyai pilihan untuk mengembangkan kerjaya di persekitaran berlainan yang lebih kondusif.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Harith Rani berkata, jika berpeluang, pilihan yang ada bagi mereka selepas ini adalah meneruskan khidmat sebagai doktor di pusat-pusat kesihatan swasta sama ada di dalam dan luar negara.
“Kami sasarkan doktor yang ada teruskan khidmat mereka dan perkembangan kerjaya di tempat lain yang lebih kondusif selain Kementerian Kesihatan. Maknanya, doktor kontrak boleh mencari peluang di universiti atau pun pusat-pusat kesihatan swasta termasuklah ke luar negara,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas lanjut, beliau menjangkakan antara 100 hingga 200 pegawai perubatan kontrak akan berhenti daripada berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan menerusi siri mogok kedua itu nanti.
Bagaimanapun, pihaknya mereka masih belum mempunyai maklumat tepat berapa ramai doktor kontrak yang akan berhenti namun peletakan jawatan itu dijangka bertambah dan berterusan.
“Sebelum ini pun memang sudah ada yang letak jawatan dan hasil tinjauan yang dijalankan oleh Independent Survey United Medical Officer (MO) Initiative dan orang persendirian, sebanyak sembilan peratus daripada 1,000 responden yang letak jawatan.
“Daripada angka ini, kalau dikembangkan kepada jumlah jumlah doktor kontrak yang sudah tamat latihan housemanship, anggaran antara 800 hingga 900 orang doktor kontrak telah pun meletak jawatan mereka,” katanya.
Utusan Malaysia menghubungi Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Seri Zainal Rahim Seman namun kedua-duanya enggan mengulas mengenai isu doktor kontrak. Kementerian Kesihatan juga dilihat masih berdiam diri mengenai hal tersebut.
Gerakan Hartal Doktor Kontrak akan memulakan siri mogok kedua di seluruh negara pada 8 Disember ini, pukul 12 tengah hari, akibat masalah lantikan tetap mereka ke dalam Kementerian Kesihatan masih belum selesai.
Setakat 22 Mei lalu, terdapat 32,516 pegawai lantikan secara kontrak untuk tiga skim iaitu pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi manakala daripada jumlah tersebut, seramai 23,077 adalah pegawai perubatan Gred UD41.
Bagaimanapun, daripada jumlah 32,516 itu, hanya 789 daripada 2,544 pengambilan pertama pada 2016, pengambilan pertama pada 2017 dan sebahagian pengambilan kedua pada 2017 atau 30 peratus daripada mereka diberikan lantikan tetap atau layak menerima jawatan itu.
Dalam pembentangan Bajet 2022 pula, kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta yang bakal memberi manfaat kepada 3,000 pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak, namun, ia belum menjawab persoalan dan penantian mereka mengenai pelantikan mereka secara tetap. – UTUSAN ONLINE










