Dana MITRA: Sembilan syarikat akan dituduh - Utusan Malaysia

Dana MITRA: Sembilan syarikat akan dituduh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah sembilan daripada 10 syarikat yang didakwa melakukan penyelewengan geran peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan dituduh di mahkamah setelah siasatan mendapati wujud unsur salah guna dana itu.

Sumber Suruhanjaya Pence­gahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Utusan Malaysia, sebanyak 21 individu terdiri dari­pada 17 lelaki dan empat wanita yang mempunyai kaitan dengan 10 syarikat berkenaan telah ditahan untuk siasatan.

Katanya, siasatan sejak dua tahun lalu itu mendapati keba­nyakan geran itu disalahgunakan bagi tujuan peribadi selain kesalahan mengemukakan dokumen palsu.

“Pada peringkat awal, SPRM memberi fokus kepada 10 syarikat berkenaan dan siasatan kini hampir dilengkapkan. Sembilan daripadanya boleh dicadangkan untuk pertuduhan setakat ini.

“Selepas ini, siasatan terhadap baki 22 syarikat daripada 32 syarikat yang dicadangkan dimulakan dan dijangka dalam bulan ini juga,” katanya di sini semalam.

Sumber itu memberitahu, siasatan mendapati MITRA mengeluarkan peruntukan melebihi RM203 juta untuk melaksanakan 337 program.

Lebih RM90 juta dikeluarkan untuk 205 program pada 2019 manakala untuk tahun lepas, lebih RM29 juta disalurkan untuk 62 program di bawah dua kementerian berbeza.

“Bagi tahun ini, lebih RM22 juta dikeluarkan untuk 13 program,” ujar sumber itu.

MITRA sebelum ini berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan kini diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Pada 28 Oktober lalu, siasatan SPRM terhadap 10 syarikat yang menerima geran peruntukan MITRA mendapati 80 peratus daripadanya menyalahgunakan dan menyeleweng peruntukan untuk kepentingan peribadi.

Bukan itu sahaja, hasil siasatan lanjut juga mendapati, kira-kira 337 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut diluluskan geran peruntukan MITRA sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan kira-kira RM203 juta.

Sebelum ini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, menteri atau Ketua Pengarah MITRA tiada budi bicara untuk mempertimbang mana-mana permohonan geran di bawah unit berkenaan.

Sebaliknya, kata beliau, hanya Jawatankuasa Penilaian Program MITRA dan Jawatankuasa Pemantauan Program MITRA mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk memberi kelulusan berkaitan perkara berkenaan.

MITRA diwujudkan bagi melaksanakan program meningkatkan sosioekonomi dan taraf hidup masyarakat India di Malaysia terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar B40. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN