BN berpeluang menangi PRN Melaka-Bung Moktar - Utusan Malaysia

BN berpeluang menangi PRN Melaka-Bung Moktar

BUNG Moktar (tiga kanan) bersama Abdul Razak (tengah) sebelum beredar ke pusat penamaan calon di Kompleks Komuniti Desa (KKD) Melaka Tengah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) dilihat mampu menguasai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini berbanding Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, BN mempunyai peluang lebih baik berbanding PH yang ternyata gagal menunaikan janji pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) manakala, PN pula kebanyakan terdiri daripada ramai wakil rakyat yang melompat parti.

Beliau berkata, rakyat dapat melihat selama berdekad-dekad BN memerintah terbukti berjaya mentadbir negara dengan baik demi kestabilan politik dan ekonomi serta memulihkan negara daripada krisis.

“Berlandaskan  kejayaan dan kecekapan BN dalam menstabilkan politik dan mengurus ekonomi negara sebelum ini, tidak ada sebab rakyat Melaka menolak BN pada PRN kali ini,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi calon BN bagi kerusi Telok Mas ke pusat penamaan calon di Kompleks Komuniti Desa (KKD) Melaka hari ini.

Mengulas lanjut katanuya, strategi Barisan Nasional (BN) menampilkan 21 peratus calon muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat akan menyumbang kepada kemenangan BN.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata, langkah menampilkan calon-calon muda ini menunjukkan keseriusan UMNO untuk meremajakan parti berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri berkata, beliau yakin calon muda ini mampu memberi saingan kepada calon-calon lain dan mampu menggalas amanah serta tanggungjawab sekiranya mereka terpilih menjadi wakil rakyat.

“Keputusan ini merupakan satu perkembangan baik untuk parti kerana kebanyakan calon muda yang dipilih mempunyai latar belakang yang berbeza. Mereka bukan hanya berpendidikan malah, ada calon daripada golongan profesional seperti doktor dan sebilangannya dihasilkan daripada kilang pemuda,” katanya.

Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, misalnya calon BN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman merupakan salah seorang calon muda yang dihasilkan daripada kilang pemuda.

“Sebelum ini, Abdul Razak pernah menjadi Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan beliau cukup berpengalaman untuk memikul tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya diberikan peluang pada PRN kali ini.

“Selain calon muda, UMNO turut menampilkan calon berpengalaman yang sudah sekian lama berjuang dalam parti dan mereka ini pastinya diterima oleh rakyat,” katanya.

Pada PRN kali ini, Abdul Razak akan berhadapan dengan saingan empat penjuru untuk menentang calon PN, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen; calon PH Ashrat Mukhlis Minghat dan calon Bebas Muhammad Ariff Adly Mohammad.

Tambah beliau, jentera UMNO Sabah akan membantu calon-calon BN di kawasan-kawasan yang mereka ditugaskan dan mereka turut diingatkan agar sentiasa menjaga adab serta imej parti di samping mematuhi  prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN