KUALA TERENGGANU: Hotel milik kerajaan negeri, Duyung Marina & Resort (DMR) mengesahkan tidak menerima sebarang aduan daripada pelanggannya berhubung keadaan bilik yang kotor dan rosak sebagaimana yang tular di media sosial.
Pengurus Besarnya, Wan Mohd. Faizul Wan Abas berkata, siasatan masih lagi dijalankan hingga kini bagi meneliti setiap dakwaan itu termasuk turut mengarahkan kakitangannya menghubungi semula pelanggan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada individu beralamat dari Kedah itu menemui jalan buntu kerana maklumat nombor telefon yang ditinggalkan tidak tepat.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati pelanggan itu menginap selama lima hari dari 14 hingga 18 Oktober lalu di bilik jenis deluxe eksekutif berharga RM380 untuk satu malam.
“Tujuan kita menghubungi adalah untuk mendapatkan gambaran sebenar kerana sepanjang lima hari penginapan, tiada sebarang aduan dibuat pelanggan mahu pun keluarganya.
“Kita tidak nafikan fasiliti di DMR sudah lama, namun kita tidak sesekali menjual bilik yang dikategorikan rosak kepada pelanggan kerana menjadi prosedur operasi standard (SOP) kita untuk memeriksa bilik terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau diminta mengulas perkongsian pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Rania Adira di laman Hotel Review Malaysia mengenai pengalaman buruknya menginap di resort empat bintang itu.
Antara yang dibangkitkan individu itu termasuk keadaan tandas yang berlumut dan air yang bertakung di samping beberapa kerosakan di kawasan beranda.
Wan Mohd. Faizul berkata, kelewatan individu itu mendaftar masuk pada pukul 3.40 petang adalah disebabkan kadar penginapan yang tinggi pada hujung minggu.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya bersedia memohon maaf di samping mengembalikan semula bayaran jika terbukti dakwaan tular itu benar selepas proses siasatan dibuat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, daripada keseluruhan 97 bilik di DMR, sebanyak 10 dikategorikan sebagai rosak. -UTUSAN ONLINE