PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mewujudkan Akademi Bahas Madani di 72 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara secara berperingkat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penubuhan akademi ini bagi memperkukuh kemahiran berbahasa dan pengucapan awam dalam kalangan pelajar yang bakal menyertai Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri edisi akan datang.
Beliau berkata, ia turut menjadi platform melatih pelajar menyusun dan menyampaikan pandangan dengan penuh keyakinan, kematangan dan beradab.
“Tumpuan akan diberikan kepada latihan, pemberdayaan dari sudut intelektual, hujah kritis dan latihan berterusan untuk memastikan murid terbabit, khususnya di 72 SBP mendapat ruang dan peluang sama untuk dilatih dalam akademi berkenaan.
“Ini menjadi agenda utama kita menuju Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri yang akan datang,” katanya selepas Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-50 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.
Pertandingan akhir itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir.
Tambah Fadhlina, penubuhan akademi itu membawa aspirasi besar sebagai antara agenda terbaik negara dalam memperkasa generasi muda.
“Agenda ini sangat baik kerana kita akan melatih lebih ramai pendebat, membuka ruang dan latihan ditumpukan kepada aspek dan kemahiran seperti ditekankan Perdana Menteri, soal mengupas ilmu dan disiplin,” katanya.
Fadhlina turut mengumumkan piala pusingan pertandingan yang sebelum ini disumbangkan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, akan diserahkan kepada Arkib Negara sementara piala baharu bagi edisi ke-51 akan disumbangkan oleh Perdana Menteri.
Sehubungan itu, katanya, pertandingan berkenaan untuk siri tahun hadapan bakal menyaksikan juara menjadi penerima pertama piala baharu berkenaan.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri, dan pertandingan edisi ke-51 akan menyaksikan pemenang pertama akan mendapat piala baharu,” katanya. – MINGGUAN










