‘Pelaksanaan Titah Adendum ikut prosedur perundangan’

‘Pelaksanaan Titah Adendum ikut prosedur perundangan’

AHMAD Zahid Hamidi (tiga, kanan) dan Fathul Bari Mat Jahya (dua, kiri) pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di Kangar, Perlis, semalam. – MINGGUAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pelaksanaan Titah Adendum yang membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah akan di­usahakan secepat mungkin mengikut prosedur perundangan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan perkara tersebut dan telah memperincikan kaedah-kaedah perundangan yang perlu diikuti.

Beliau berkata, tindakan susulan akan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang melalui proses lembaga pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekarang.

“Insya-Allah akan ada tindakan susulan yang akan dilakukan mengikut prosedur perundangan dan ia sangat bergantung kepada Lembaga Pengampunan.

“Kita akan usahakan secepat mungkin dan proses perunda­ngan ini sangat bergantung kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong dan ia harus dihormati oleh kita semua,” katanya ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 160 Bahagian UMNO mendesak Perdana Menteri mengambil tanggungjawab supaya Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah dilaksanakan.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah dilaporkan berkata, kerajaan tidak lagi mempunyai alasan munasabah untuk melengahkan pelaksanaan titah diraja tersebut yang dianggap jelas dan muktamad.

Sebelum itu, media melapor­kan, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa mereka tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum tersebut sebaliknya mempertikaikan cara dokumen terbabit dikemukakan ke mahkamah untuk di­terima sebagai bukti baharu.

Terdahulu, Ahmad Zahid ketika berucap berkata, proses me­nuntut pelaksanaan Titah Adendum itu perlu dilakukan secara tertib dan tidak menekan.

“Semakin kita tekan, semakin lama duduk dalam (Najib). Biar barisan kepemimpinan tertinggi mengambil tanggungjawab tersebut. Kita pujuk sosok tubuh ber­kenaan bantu Najib tanpa memberi tekanan berlebihan.

“Sementara menanti perkara itu, yang diluar ini pula (akar umbi UMNO) harus terus berge­rak bagi merelevankan semula UMNO di persada politik tanah air,” katanya.

Mengulas perkara sama, Fathul Bari berkata, pendirian UMNO Bahagian Kangar jelas iaitu meng­angkat, menjunjung kedaulatan undang-undang dan kesetian kepada raja-raja berhubung Titah Adendum ber­kenaan.

Katanya, sebelum ini, mah­kamah menjatuhkan hukuman terhadap Najib dan hari ini mahkamah yang sama telah me­nyatakan bahawa Titah Adendum itu sah.

“Dulu kita terima hukuman dijatuhkan terhadap Najib, kita reda manakala ada pihak tertentu bersorak gembira. Tapi, kenapa hari ini bila mahkamah memutuskan Adendum itu sah, mereka pula marah. Siapa pun, selain Najib sekali pun, apabila benda ini berlaku, kena sokonglah,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×