Berjimat, melabur ketika harga sawit tinggi - Utusan Malaysia

Berjimat, melabur ketika harga sawit tinggi

Gambar hiasan - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Peneroka Felda yang sedang menikmati harga jualan kelapa sawit tinggi ketika ini dinasihatkan supaya berjimat atau melaburkan pendapatan mereka ke dalam Koperasi Permodalan Felda.

Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, harga jualan sawit sekitar RM1,200 satu metrik tan ketika ini adalah yang tertinggi pernah dicatatkan mengatasi harga paling tinggi sebelum ini kira-kira RM800 satu metrik tan.

Menurutnya, setelah ditolak pelbagai kos terutama upah, peneroka dianggarkan meraih pendapatan sekitar RM7,000 hingga RM8,000 sebulan berdasarkan keluasan tanah yang mereka usahakan.

“Peneroka perlu berjimat sebagai persediaan jika harga sawit kembali jatuh kerana harganya pernah serendah RM300 satu metrik tan.

“Peneroka juga boleh melaburkan pendapatan mereka dalam Koperasi Permodalan Felda. Walaupun dividennya ketika ini agak kecil, untuk jangka masa panjang, mungkin dividen yang diperoleh boleh seperti dahulu iaitu antara 15 hingga 16 peratus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sulong Jamil percaya, pendapatan tinggi daripada kenaikan harga sawit yang dinikmati oleh peneroka ketika ini tidak akan mengubah gaya hidup peneroka seperti membeli kereta baharu.

Katanya, ini kerana rata-rata peneroka sudah berusia 60-an.

“Ketika harga sawit tinggi, jangan beli kereta baru, ini akan menyusahkan nanti.

“Begitu juga anak-anak peneroka, mereka perlu berjimat ketika harga sawit tinggi.

“Namun ramai anak peneroka yang sudah berjaya. Saya percaya walaupun harga sawit naik, anak peneroka tetap menjalani hidup sederhana seperti bapa mereka, kerana mereka telah diasuh oleh bapa mereka yang bersusah payah meneroka tanah rancangan Felda,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN