Ambulans bawa pesakit warga emas terlibat kemalangan - Utusan Malaysia

Ambulans bawa pesakit warga emas terlibat kemalangan

KEADAAN ambulans dan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan berhampiran lampu isyarat di Kilometer 63, Jalan Alor Setar - Butterworth, Sungai Petani malam tadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sebuah ambulans yang membawa seorang pesakit terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda berhampiran lampu isyarat di Kilometer 63, Jalan Alor Setar -Butterworth di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu berlaku ketika ambulans berkenaan yang turut dinaiki seorang pembantu perubatan dalam perjalanan dari Tikam Batu menuju ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

“Dalam kejadian pada pukul 7.10 malam itu, ambulans terbabit membawa seorang pesakit berumur 62 tahun untuk diberikan rawatan kerana sakit dada dan sesak nafas di HSAH.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda jenis Mazda BT-50 tiba-tiba muncul di hadapan ambulans berkenaan yang bergerak semasa lampu isyarat berwarna hijau,” katanya.

Adzli menambah, pemandu ambulans tersebut tidak sempat mengelak dan berlaku pelanggaran dari arah depan dan sisi menyebabkan kedua-dua kenderaan itu mengalami kerosakan kecil di bahagian sisi dan  hadapan.

” Bagaimanapun pemandu ambulans, pembantu perubatan dan pesakit berkenaan tidak mengalami kecederaan sebelum dihantar menggunakan ambulans lain ke HSAH sejurus selepas itu.

“Pemandu kereta Mazda yang merupakan seorang wanita berumur 43 tahun dan penumpangnya seorang lelaki berumur 42 tahun juga tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya