Ada cara dekati orang Asli, sampaikan mesej Islam - Utusan Malaysia

Ada cara dekati orang Asli, sampaikan mesej Islam

AHMAD Marzuk Shaary pada Simposium Pendakwah dan Pemimpin Orang Asli di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Para pendakwah di negara ini perlu pandai mengambil hati masyarakat Orang Asli dalam menyampaikan dakwah dan mesej Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, hal ini berikutan masyarakat Orang Asli memiliki budaya dan adat resam yang unik serta mempunyai kepelbagaian suku.

“Justeru, perkara ini boleh dilaksanakan dengan mewujudkan kerjasama yang baik dan hubungan erat dengan pemimpin masyarakat bagi menjayakan misi dakwah di kampung Orang Asli. Kerja-kerja dakwah ini tidaklah mudah untuk dilaksananakan.

“Pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh da’i dalam melaksanakan misi tersebut dan halangan ini bukan sahaja dari sudut keperluan material, malah kekuatan rohani dan jasmani juga sangat perlu dititik beratkan,” katanya ketika berucap pada Simposium Pendakwah dan Pemimpin Orang Asli di sini hari ini.

Simposium yang dilaksanakan secara hibrid itu melibatkan 242 peserta iaitu Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan mereka didedahkan dengan slot pengisian oleh Senator Masyarakat Orang Asli, Datuk Isa Ab. Hamid serta Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM dan Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak.

Dalam masa sama, Ahmad Marzuk berkata, beliau difahamkan terdapat 365 surau di perkampungan Orang Asli dengan 34 daripadanya merupakan masjid dan surau diri Jumaat sekali gus membuktikan syiar Islam sudah berdiri dan tersebar luas ke pelosok belantara.

“Penghayatan fardu ain juga semakin meningkat dalam kalangan Orang Asli yang sudah memeluk agama Islam dan sangat membanggakan kami apabila ada dalam kalangan Orang Asli sendiri sudah mampu untuk menjadi imam dan bilal di surau kampung masing-masing.

“Latihan dan kursus bagi imam dan bilal ini akan sentiasa diadakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memantapkan bacaan dalam solat atau penyampaian khutbah Jumaat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, majlis pada hari ini diadakan sebagai penghargaan dan mengiktiraf pendakwah serta pemimpin masyarakat Orang Asli Islam yang banyak menyumbang dan membantu pelaksanaan kerja dakwah di perkampungan Orang Asli di seluruh tanah air.

Tambah beliau, ia juga untuk mengiktiraf surau-surau di perkampungan Orang Asli yang aktif di dalam aktiviti pengimarahan hingga menjadikan surau bukan sahaja sebagai tempat untuk beribadah malah, boleh menjadi pusat aktiviti bagi komuniti setempat.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Dakwah dengan sukacitanya menganugerahkan sijil dan wang tunai kepada masjid, surau Jumaat dan surau yang layak.

“Penerima anugerah ini telah dinilai oleh panel dan jawatankuasa yang dilantik berdasarkan pengimarahan, kebersihan dan keceriaan surau. Semoga ini akan dapat memberi semangat kepada masyarakat dan penduduk kampung yang sudah islam untuk sentiasa mengimarahkan rumah Allah,” katanya.

Pengiktirafan dan penghargaan yang disampaikan pada hari ini melibatkan Anugerah Masjid/Surau Jumaat Kampung Orang Asli Terbaik, Anugerah Surau Kampung Orang Asli Terbaik, Anugerah Tokoh Kepimpinan Orang Asli, Anugerah PMOA Qudwah Peringkat Negeri dan Kebangsaan serta meraikan PMOA yang bersara. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN