MELAKA: Usaha akan dipergiatkan untuk mencari nilai tambah terbaik khususnya pelaburan baharu bagi dibawa masuk sekali gus membantu kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan yang baharu dilantik, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, bagi tujuan tersebut beliau akan menemui pegawai-pegawai di portfolio yang dipegangnya untuk mendapat maklumat terkini.
Menurutnya, selepas mendapat maklumat dan mengkajinya, barulah dapat merancang apa yang perlu dilakukan bagi mencari pelabur baharu datang melabur ke negeri ini.
“Biar saya lihat dahulu apa maklumat yang saya akan dapat. Saya perlu tengok apa yang telah dilakukan sebelum ini bagi membolehkan saya menyumbang,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu ketika ditemui selepas Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Exco yang berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah, Dr. Muhamad Akmal Saleh pula, portfolio yang diamanahkan kepadanya adalah satu tugas yang mencabar namun ia bukan alasan untuknya gagal melaksanakan tanggungjawab diberikan.
“Sasaran saya apabila diberi tanggungjawab ini adalah untuk menjadikan Melaka sebagai negeri pertama memasuki fasa endemik, ” katanya.
Ab. Rauf dan Dr. Akmal merupakan antara lapan muka baharu, dua muka lama yang membarisi 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dibentuk selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu memegang portfolio Jawatankuasa Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama.
Dua muka lama ialah ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang memegang jawatan lamanya iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan manakala ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad bertukar portfolio kepada Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri.
Sementara itu ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan pula dengan portfolio Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar.
Turut tersenarai ADUN Telok Mas yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani; ADUN Gadek, VP. Shanmugam memegang Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin dengan portfolio Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan, Keluarga dan Kebajikan.
Dua lagi muka baharu ialah ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi manakala ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem memegang portfolio Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna. – UTUSAN ONLINE










