8 kategori pesakit boleh ditemani, terima pelawat - Utusan Malaysia

8 kategori pesakit boleh ditemani, terima pelawat

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan hanya lapan kategori pesakit yang boleh ditemani penjaga atau menerima pelawat dengan prosedur operasi standard (SOP), berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mengemas kini polisi lawatan untuk penjaga dan pelawat hospital di bawah kementeriannya, selari dengan perkembangan semasa Covid-19.

Katanya, keputusan ini bertujuan mengurangkan risiko penularan Covid-19 di hospital, malah, ia penting bagi melindungi pesakit, pelawat dan petugas kesihatan serta memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berterusan.

Beliau memberitahu, lapan kategori pesakit ialah pesakit berpenyakit kritikal; pesakit yang memerlukan penjagaan palliatif; pesakit yang tenat; pesakit kurang upaya; pesakit warga emas; pesakit yang memerlukan bantuan komunikasi; pesakit kanak-kanak dan ibu di dalam proses bersalin.

“Bagi pelawat atau penjaga yang dibenarkan untuk melawat dan menjaga pesakit mestilah berusia 18 tahun dan ke atas; lengkap vaksinasi Covid-19; tidak tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 seperti warga emas, mempunyai pelbagai komorbiditi atau sistem imuniti yang lemah.

“Ini termasuk tidak disyaki menghidapi Covid-19 atau individu dalam pemantauan (PUS) dan tidak mempunyai gejala Covid-19 serta mengisi borang deklarasi Covid-19 selain mematuhi SOP dan memakai alat pelindung diri (PPE) seperti yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Khairy berkata, bagi penjaga pula, mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 iaitu RT-PCR atau RTK Antigen dalam masa 72 jam sebelum masuk ke hospital dan disahkan negatif.

Jelasnya, peneman ibu mengandung semasa proses bersalin pula hendaklah menjalani ujian saringan RT-PCR atau RTK Antigen atau RTK Antigen Saliva semasa ketibaan di hospital dan disahkan negatif.

Katanya, bagi pesakit yang menerima rawatan pesakit luar atau Jabatan Kecemasan, hanya seorang penjaga sahaja dibenarkan.

“Sekiranya pesakit dimasukkan ke wad bukan Covid-19, seorang penjaga dibenarkan untuk menemani pesakit dan seorang pelawat dibenarkan sepanjang sesi lawatan manakala ujian RTK-AG Saliva adalah digalakkan sebelum lawatan.

“Bagi pesakit bukan Covid-19 yang sedang tenat dan berada di wad, lawatan keluarga adalah dibenarkan, namun ia terhad kepada dua orang dalam satu masa dan bergantung kepada keadaan.

Beliau berkata, tiada pelawat dibenarkan bagi pesakit Covid-19, kecuali bagi pesakit yang sedang tenat sama ada pesakit di wad atau di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana seorang pelawat sahaja dibenarkan pada satu masa.

Tambahnya, bagi tujuan menemani pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke wad, hanya seorang penjaga sahaja dibenarkan untuk menemani pesakit melibatkan pesakit kanak-kanak atau pesakit yang memerlukan bantuan penjagaan khusus.

“Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu di mana risiko penularan Covid-19 adalah tinggi seperti berlakunya wabak itu di hospital, pihak hospital boleh melakukan beberapa pengubahsuaian kepada polisi yang sedia ada bagi menjamin kesihatan dan keselamatan semua pihak,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya