20,000 anggota APM siap siaga hadapi Monsun Timur Laut - Utusan Malaysia

20,000 anggota APM siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

ABDUL Wahab Rahim (kiri) bersama Mohamad Ismail (kanan) melihat aset yang digunakan bagi operasi penyelaman pada Program Kesiapsiagaan APM Menghadapi Bencana Operasi Laut di Pulau Payar, Langkawi semalam. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Seramai 20,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di seluruh negara bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula tidak lama lagi.

Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Ibu Pejabat APM, Abdul Wahab Rahim berkata, jumlah tersebut adalah jumlah maksimum yang akan ditugaskan sehingga monsun tersebut berakhir pada April tahun hadapan.

“Kita akan mengatur gerak seramai 20,000 anggota secara berperingkat sehingga bulan April tahun depan, atau sehingga Monsun Timur Laut berakhir.

“Maksimum anggota yang akan diatur gerak adalah sehingga 20,000 orang, berdasarkan keperluan semasa seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Kesiapsiagaan APM Menghadapi Bencana Operasi Laut di Pulau Payar di sini, semalam.

Selain itu, Abdul Wahab berkata, dalam  memastikan penugasan rutin APM berjalan lancar, pihaknya telah melakukan perolehan bagi menambah aset sedia ada serta ini menggantikan aset lama yang telah rosak.

Jelasnya, pihaknya kini banyak menekankan perolehan aset bagi operasi penyelamatan di air sejajar dengan situasi Monsun Timur Laut semasa.

“Aset-aset tersebut diperlukan dalam operasi penyelaman dan pencarian di air seperti sut menyelam serta bot amfibia Sealegs,” ujarnya.

Tambahnya, hasil keprihatinan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang mengutamakan perolehan aset APM ini, APM telah menerima aset tersebut bermula September lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) JPM, Datuk Mohamad Ismail berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan perolehan aset kepada APM bagi memastikan penugasannya berjalan dengan baik.

“Penting untuk memastikan fungsi APM tu berjalan lancar dan sempurna. Dari segi latihan dan usaha untuk mengatasi masalah kecemasan, ancaman, banjir dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, peruntukan kepada APM akan diberikan mengikut keutamaan dan dijangka  diterima APM pada Januari tahun hadapan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN