Vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dilulus untuk remaja  - Utusan Malaysia

Vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dilulus untuk remaja 

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: vaksin  CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd., China dan Pharmaniaga  Lifesciences Sdn Bhd, Malaysia diluluskan penggunaannya kepada golongan berumur 12 tahun dan ke atas.

 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-364 yang bersidang hari ini.

 

Beliau berkata, kelulusan itu sekali gus menjadikan ia vaksin Covid-19 kedua diluluskan penggunaan kepada golongan remaja selepas vaksin Cominarty, keluaran Pfizer BioNTech pada bulan Jun lalu.

 

Katanya, CoronaVac sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat bagi  penggunaan dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas. 

 

“Bagaimanapun, PBKD menyarankan agar penggunaan vaksin CoronaVac  dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada  remaja tanpa komorbiditi.

 

“Ini termasuk mereka yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Comirnaty,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Noor Hisham berkata, penilaian bagi penggunaan CoronaVac dalam  kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi. 

 

Beliau berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan  maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau  dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. 

 

“Ia bagi memastikan  perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.

 

“Kementerian Kesihatan juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin  Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti,  keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA) dan diluluskan PBKD,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN