PETALING JAYA: United Overseas Bank (UOB) dianugerahkan Bank Terbaik Dunia untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Anugerah Kecemerlangan Global Euromoney 2021.
Anugerah itu diterima berdasarkan kesalinghubungan serantau, kepakaran dan sokongan berterusan kepada PKS bagi membolehkan pemulihan dan pertumbuhan selepas pandemik.
Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Wee Ee Cheong berkata, pihaknya memahami cabaran berbeza yang dihadapi oleh PKS apabila menghadapi gangguan yang disebabkan pandemik.
“Kami terus berdiri teguh dengan pelanggan kami dalam membantu mereka menghadapi krisis. Sebagai tambahan kepada sokongan yang disediakan, kami juga membantu pelanggan PKS mengubah perniagaan mereka secara digital, merebut peluang rentas sempadan dan maju dengan penuh tanggungjawab untuk pertumbuhan jangka panjang.
“Kami komited dalam menyokong pelanggan PKS kami sepanjang kitaran ekonomi dan pasaran dan bekerjasama dengan mereka untuk membina perniagaan yang lebih berdaya tahan dan mampan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menyedari betapa pentingnya pendigitalan dalam membangunkan perniagaan yang mampan, keperluan yang dipercepat oleh pandemik Covid-19, UOB telah membolehkan lebih banyak PKS menggunakan pembayaran digital.
Di Malaysia contohnya, UOB mCollect dibangunkan sebagai penyelesaian pengumpulan tunai digital bersepadu dengan DuitNow2 dan dirancangkan bagi membantu syarikat memudahkan proses pengumpulan dan penyesuaian tunai mereka.
Sementara itu, Pengarang Euromoney, Louise Bowman menegaskan, UOB telah mengubah mesin penajajaminannya secara radikal dengan menggunakan metrik data alternatif baharu untuk menganalisis pengurusan risikonya.
“UOB bukan hanya menyediakan perkhidmatan digital yang inovatif untuk membantu syarikat kecil ini dari segi kewangan, malah memperkenalkan penyelesaian PKS yang menggabungkan perakaunan, senarai gaji serta fungsi sumber manusia yang lain untuk membolehkan PKS menguruskan bahagian logistik dalam operasi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE