UMNO mampu jadi king maker - Utusan Malaysia

UMNO mampu jadi king maker

Langkah Pas menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada pemimpin UMNO dilihat sebagai usaha untuk parti itu menjadi kerajaan semula.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu menjadi king maker sekiranya parti itu bertanding secara solo di bawah panji BN dan hanya akan berunding dengan parti lain selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, bagi mengelakkan perpecahan yang lebih teruk dalam kalangan orang Melayu, sewajarnya pemimpin politik terutama Pas yang berada di dalam gagasan Muafakat Nasional (MN) berunding semula supaya rakyat tidak menjadi mangsa perpecahan.

MOHD YUSSOF LATIFF

“Dari segi kekuatan akar umbi, UMNO memang mampu bergerak solo dan menjadi king maker dalam PRU-15.

“Namun, elok sesama parti Melayu berunding semula ke­rana rakyat mahu lihat semua parti bersatu kerana perpecahan tidak membawa keuntungan kepada sesiapa pun,’’ katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau mengulas pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan parti itu akan bertanding secara solo di bawah panji BN dan hanya akan berunding dengan parti lain selepas pilihan raya umum.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga bahkan mempersoalkan jika Muafakat Nasional (MN) masih lagi wujud apabila ditanya mengenai keuntungan untuk kekal dalam kerjasama bersama Pas itu.

Menurut Mohd. Yussof, pemimpin Pas pada masa ini nampaknya sudah seolah-olah melupakan janji-janji mereka dalam gagasan MN setelah memperoleh jawatan dalam kerajaan.

“MN memang sepi selepas pemimpin Pas terima jawatan, masing-masing sibuk nampak­nya dengan jawatan yang diperoleh.

“Pemimpin Pas seperti Pre­sidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu menyatakan dengan tegas dan tanpa berselin­dung apa pendirian sebenarnya dan kepada siapa mereka berpihak,” katanya.

Tambahnya, sepatutnya sejak awal penubuhan MN di peringkat pusat, MN juga perlu ditubuhkan di peringkat negeri serta akar umbi namun tidak dilakukan.

“MN perlu ditubuhkan di pe­ringkat akar umbi barulah ahli kedua-dua parti dapat saling bekerjasama, namun sejak MN wujud, tiada usaha ke arah itu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×