TNB anugerah 93 biasiswa kepada pelajar cemerlang - Utusan Malaysia

TNB anugerah 93 biasiswa kepada pelajar cemerlang

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyampaikan biasiswa YTN kepada seorang penerima disaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB), menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) meneruskan sumbangannya kepada agenda pembangunan modal insan negara dengan menganugerahkan biasiswa kepada 93 pelajar cemerlang akademik yang memiliki kualiti kepimpinan dan aktif dalam kokurikulum untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan seberang laut.

Pelajar tersebut dipilih dalam kalangan 8,400 pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dengan 20 daripadanya ditawarkan pengajian di luar negara dalam bidang Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Perakaunan/Kewangan serta Data Sains dan Analitik. 

Seramai 73 orang lagi akan melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Nasional (Uniten) dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal, Sains Komputer, Kewangan, Pengajian Perniagaan dan Perakaunan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan usaha murni TNB itu sebagai manifestasi hubungan bermakna rakyat bersama TNB.

“Bagi pihak kerajaan persekutuan, saya merakamkan penghargaan kepada TNB atas usaha bersama-sama membantu kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, terutama selepas negara menghadapi pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

“Inisiatif TNB untuk sentiasa bersama-sama rakyat dalam hal pendidikan adalah satu usaha murni dan juga merupakan manifestasi hubungan yang amat bermakna antara rakyat sebagai pelanggan kepada TNB, yang kaya dengan falsafah saling memakmurkan antara satu sama lain,” katanya pada Majlis Penganugerahan Biasiswa YTN 2021 secara hibrid, Jumaat lalu.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Baharin Din dan Pengarah YTN, Datuk Ir. Dr. Ibrahim Hussein.

Sepanjang tempoh pengajian, TNB memperuntukkan kira-kira RM35 juta untuk biasiswa dengan kos RM1 juta seorang di luar negara dan antara RM120,000 hingga RM140,000 bagi pengajian dalam negara. Sejak ditubuhkan pada 1993, TNB telah membelanjakan lebih

RM1.2 bilion dalam bentuk Dermasiswa MyBF (RM66 juta), biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar.

Sementara itu, Baharin memaklumkan, TNB komited untuk sentiasa membantu usaha kerajaan meningkatkan modal insan berkualiti untuk pertumbuhan negara.

“Kami di TNB percaya bahawa menerusi peluang pendidikan, potensi modal insan akan dapat digilap dan seterusnya akan menyumbang kepada peningkatan tahap hidup rakyat serta menyumbang kepada pembangunan negara.

“TNB amat mengambil berat tanggungjawab korporat di bidang pendidikan kerana kami percaya pendidikan adalah antara pemboleh daya yang boleh mengubah kehidupan masyarakat. 

“Oleh itu TNB kekal komited untuk meneruskan program re-engineering masyarakat ini melalui pendidikan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya