Tindakan kepada penjawat awam Selangor enggan terima vaksin - Utusan Malaysia

Tindakan kepada penjawat awam Selangor enggan terima vaksin

AMIRUDIN Shari bersama Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Negeri Selangor, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor meluluskan untuk mengambil tindakan kepada kepada penjawat awam negeri ini yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Tindakan itu dibuat susulan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang penduduk untuk patuh kepada Ulil Amri atau pihak berkuasa berhubung pengambilan vaksin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu, MMKN diberikan nasihat dan taklimat oleh Penasihat Undang-Undang Negeri dan bersetuju untuk melaksanakan tindakan tatatertib kepada penjawat awam negeri ini yang secara sengaja tidak mahu menerima vaksin.

“Bentuk tindakan itu akan diputuskan oleh pihak jawatankuasa (tatatertib) tetapi kita juga akan melaksanakan kewajiban dalam kalangan penjawat awam, kita mahu mereka bekerja, bertindak dan dilindungi daripada kesan Covid-19.

“Kecuali atas faktor klinikal atau pun sebab mudarat lain seperti kesihatan dan nasihat daripada doktor dan sebagainya. Ada beberapa dalam klausa yang jelas, ada amaran, tindakan pemotongan sampailah pemberhentian. Tetapi bukanlah bererti kita hendak berhentikan, tetapi itu klausa biasa,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), jurunikah dan pegawai masjid yang enggan menerima vaksin walaupun sudah diarahkan hadir dalam Program Pemberian Vaksin Khas pada 22 September lalu.

Malah, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila 766 pegawai agama Islam di negeri ini enggan menerima suntikan vaksin.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad memaklumkan senarai nama guru berkenaan akan dipersembahkan kepada baginda untuk tindakan susulan.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri akan mengikut dasar yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM)  di peringkat Kerajaan Persekutuan bergantung kepada kesesuaian.

“Apa tindakannya nanti kita akan diputuskan oleh jawatankuasa tatatertib di pihak pentadbiran kerajaan negeri. Kita sudah diberikan nasihat, mungkin akan ikut langkah sama (seperti kerajaan negeri) tarikhnya mungkin akan ikut kesesuaian sebab semalam baharu kita dapat keputusan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN